Asia

Aprilio Perkasa sudah bertunang

Oleh Agensi

Jakarta: Aprilio Perkasa Manganang, 29, yang pernah menggemparkan Indonesia kerana isu status jantinanya akibat mengalami hipospadia atau kelainan pada organ reproduksi, kini sudah bertunang dengan kekasihnya, Claudia.

Bekas pemain bola tampar wanita skuad kebangsaan Indonesia itu menjalani kehidupan sebagai lelaki tulen selepas permohonannya menukar nama daripada Aprilia Santini Manganang kepada nama baharu itu diluluskan Mahkamah Negeri Tondano Mac tahun lalu.

Dia yang kini bersama pasukan bola tampar lelaki berkongsi detik bahagia bergelar tunang Claudia di akaun Instagramnya.

Pada gambar berkenaan, Aprilio segak mengenakan kemeja batik di samping wanita itu memakai gaun pendek dengan tema sedondon.

Aprilia berkata, dia bersyukur bertemu dengan orang yang tepat, selain berterima kasih kepada tunangnya kerana sudi menerima kekurangannya.

"Tiada kata lain selain mengucap syukur atas semua perjalanan hidup yang Tuhan beri dan akhirnya bertemu orang tepat yang menerima semua ketidaksempurnaan untuk dijadikan sempurna dan indah," katanya seperti di petik portal Detik.com.

Aprilio dilahirkan semula jadi sebagai lelaki namun mengalami hipospadia.

Berikutan peralatan perubatan terhad ketika itu, dia dikenal pasti memiliki alat kelamin perempuan bersandarkan kepada ciri fizikal.

Dia juga tidak menjalani pemeriksaan lanjut kerana masalah kewangan keluarga hingga akhirnya tercatat jantina perempuan pada sijil kelahirannya serta kad pengenalannya.

Selepas bersara daripada sukan bola tampar, dia menyertai Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Bagaimanapun, kakitangan TNI mendapati ada yang tidak kena pada fizikal individu itu sebelum memintanya menjalani pemeriksaan sebelum dia memohon menukar nama dan seterusnya membolehkannya menjalani pembedahan pembetulan jantina.

Disiarkan pada: January 26, 2022 @ 10:16am
d