Asia

Mainan anak jatuh petanda gempa

Oleh AFP

Padang: Sekurang-kurangnya dua maut dalam kejadian gempa bumi berukuran 6.2 skala Ritcher yang melanda Pulau Sumatera, hari ini.

Gempa itu berlaku beberapa minit selepas gegaran kecil ketika penduduk yang ketakutan mula mengosongkan rumah masing-masing.

"Kami keluar dari rumah (selepas gegaran pertama. "Saya mempunyai bayi berusia setahun, disebabkan terlalu panik saya menolak kereta sorong bayi keluar dari rumah," kata Yudi Prama Agustino, 36, kepada AFP.

Gempa bumi melanda utara pulau itu pada kedalaman 12 kilometer, kira-kira 70 kilometer dari bandar Bukittinggi di wilayah Sumatera Barat, menurut Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Kampung Agustino terletak di Agam, kira-kira 40 kilometer dari Bukittinggi.

"Saya perasan berlaku gempa berlaku selepas mendapati mainan anak-anak jatuh. Saya sangat panik kerana mentua turut berada di rumah dan mereka sakit dan agak uzur," katanya.

Menurutnya, gegaran pertama direkodkan pada skala 5.0 oleh USGS.

"Sebaik saja kami keluar, gempa berukuran 6.2 berlaku dan semua orang panik," katanya.

Ketua Agensi Mitigasi Bencana Nasional (BNPB) Suharyanto berkata, dua maut dan 20 lagi cedera di Barat Pasaman, kira-kira 17 km dari pusat gempa.

Agensi Meteorologi Indonesia BMKG memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhi cerun kerana dibimbangi berlaku tanah runtuh pada kemuncak musim hujan.

Gempa turut dirasai wilayah jiran di Riau dan Sumatera Utara, serta sejauh Malaysia dan Singapura.

Tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Imej yang dikongsi dengan AFP dari bandar Pasaman, menunjukkan sebahagian rumah runtuh, dengan batu-bata bertaburan dan lubang pada dinding.

Kediaman datuk bandar juga mengalami kerosakan, kata Suharyanto.

Rakaman televisyen menunjukkan pesakit sedang dibawa keluar dari sebuah hospital di Padang, ibu kota wilayah Sumatera Barat.

Ketua Agensi Mitigasi Bencana Pasaman, Alim Bazar memberitahu AFP, beberapa bangunan mengalami keretakan.

"Datuk bandar menghubungi kami dan mengarahkan semua bangunan dua dan tiga tingkat dikosongkan," katanya.

Penduduk di bandar Pasaman, Irpanda memberitahu MetroTV yang dia merasai kedua-dua gegaran.

"Pada mulanya, gegaran hanya berlaku beberapa saat. Orang ramai mula melarikan diri dari rumah dan bangunan berhampiran bergegar.

"Kemudian berlaku satu lagi gegaran dan kali ini sangat kuat, lebih ramai yang keluar dari rumah masing-masing," katanya.

Di Singapura, gegaran turut dirasai kira-kira jam 9.45 pagi waktu tempatan.

Polis dan pihak keselamatan menerima beberapa panggilan daripada orang awam yang melaporkan gegaran terbabit.

Di Malaysia pula, Jabatan Meteorologi memaklumkan gegaran dirasai di pantai barat Semenanjung.

"Gegaran dirasai terutama di Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor," katanya menerusi ciapan di Twitter.

Disiarkan pada: February 25, 2022 @ 2:49pm
d