Asia

Pemeriksaan imunisasi di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dimansuhkan

Oleh Agensi

Jeddah: Pemeriksaan imunisasi untuk memasuki Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah kini dimansuhkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Saudi Gazette melaporkan, kementerian itu sudah menyemak perkembangan penting berkaitan pandemik Covid-19 sebelum menarik balik langkah berjaga-jaga terhadap penularan koronavirus di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Kementerian juga membatalkan keperluan untuk mendaftar data imunisasi bagi mendapatkan permit umrah dalam kalangan jemaah umrah dari luar Arab Saudi.

Ia berkata, permit tidak lagi diperlukan untuk melaksanakan ibadat di Masjidil Haram atau menziarahi Masjid Nabawi.

Namun, ia masih lagi diwajibkan untuk membuat umrah dan menziarahi AlRawdah AlSharifa dalam Masjid Nabawi di Madinah.

Semua langkah penjarakan sosial dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi digugurkan namun pemakaian pelitup muka masih diwajibkan.

Kementerian itu juga menyatakan keperluan untuk menyerahkan ujian PCR semasa ketibaan bagi jemaah umrah asing dan keperluan untuk kuarantin di institusi dan di rumah juga dimansuhkan.

Disiarkan pada: March 10, 2022 @ 7:01pm
d