Asia

China lapor lebih banyak kes, berbanding keseluruhan tahun lalu

Oleh Reuters

Beijing: China melaporkan lebih banyak kes tempatan jangkitan Covid-19 setakat tiga bulan pertama tahun ini, berbanding keseleuruhan kes yang dicatatkan tahun lalu.

Varian Omicron dipercayai menjadi punca utama penularan dari Shangai ke Shenzhen.

China melaporkan 1,337 kes tempatan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan lebih 9,000, berbanding 8,378 pada 2021, menurut kiraan Reuters.

Minggu lalu, kes baharu Covid-19 direkodkan di Beijing dan hab kewangan Shanghai, dua bandar berkepadatan penduduk yang tinggi merangkumi wilayah Guangdong, Jiangsu, Shandong dan Zhejiang.

Meskipun angka jangkitan kecil berbanding beban kes di negara lain di dunia, kadar peningkatan pantas memaksa China mengaktifkan dasar sifar Covid-19 dinamik bagi membolehkan pengesanan dan penghapusan segera jangkitan.

Pegawai di Shenzen, lembah silikon China, menggantung sementara sistem pengangkutan awam dan menyarankan orang awam supaya bekerja di rumah ketika mereka menjalankan ujian saringan meluas pada minggu ini, susulan lonjakan kes baharu Covid-19.

Pembekal Apple, Foxconn dan Unimicron Technology Corp, menghentikan sementara operasi masing-masing di bandar selatan itu hari ini.

Foxconn, yang secara rasmi dikenali sebagai Hon Hai Precision Industry Co, memaklumkan pemberhentian sementara operasi sehingga diberitahu kelak sambil menambah pihaknya akan mengerahkan kilang sokongan bagi mengurangkan gangguan kepada pengeluaran.

Di bandar timur laut Changchun yang dalam perintah berkurung, Toyota menghentikan sementara operasi di kilang usaha samanya dengan Kumpulan FAW dari China.

Termasuk kes ketibaan dari luar tanah besar China, republik itu merekodkan 1,437 kes baharu semalam berbanding 1,938 kes kelmarin, kata NHC.

Terdapat 906 kes bergejala baharu yang China tidak mengklasifikasikan ia sebagai kes disahkan, berbanding 1,455 kes kelmarin.

Tiada kes kematian baharu direkodkan, menjadikan jumlah kematian tidak berubah iaitu kekal 4,636.

Setakat semalam, China merekodkan 116,902 kes bergejala yang disahkan, membabitkan kes tempatan dan import.

Disiarkan pada: March 14, 2022 @ 7:35pm
d