Asia

Pelarian Ukraine di Jepun dibenarkan bekerja

Oleh BERNAMA

Istanbul: Warga Ukraine yang melarikan diri dari perang di negara mereka akan dibenarkan bekerja di Jepun, kata kerajaan Jepun pada Selasa.

"Kami akan bertindak balas secara fleksibel terhadap status visa, dengan mengambil kira situasi yang dihadapi oleh mangsa yang dipindahkan," kata Menteri Kehakiman Yoshihisa Furukawa pada sidang media di Tokyo.

Sekurang-kurangnya 47 warga Ukraine telah tiba di Jepun sejak Rusia melancarkan perang ke atas jiran baratnya pada 24 Februari lalu dengan Tokyo menawarkan mereka visa jangka pendek sebagai sebahagian daripada pakej bantuan kemanusiaan, lapor Agensi Anadolu.

"Di bawah langkah itu, mereka yang dipindahkan diberi status pemastautin jangka pendek selama 90 hari apabila memasuki Jepun dan dibenarkan melanjutkan visa mereka ke status 'aktiviti yang ditetapkan' selama setahun," kata menteri itu dalam laporan Kyodo News.

"Perubahan itu akan memberi mereka tempat tinggal dan hak undang-undang untuk terlibat dalam pekerjaan," jelasnya.

Bersama sekutu Barat Jepun, Perdana Menteri Fumio Kishida telah mengetuai usaha untuk menghentikan perang Rusia ke atas Kyiv.

Jepun yang kekurangan tenaga telah mengenakan sekatan ke atas Rusia tetapi mengambil pendekatan berhati-hati terhadap pengharaman import tenaga dari Moscow.

Hirokazu Matsuno, jurucakap tertinggi kerajaan Jepun, memberitahu sidang akhbar berasingan: "Kerajaan akan bekerjasama dengan firma dan kerajaan tempatan yang telah mengumumkan hasrat mereka untuk menerima pemindahan (Ukraine) dan mengkaji langkah berdasarkan permintaan orang yang ingin berpindah ke Jepun."

Perang Rusia-Ukraine telah mendapat kecaman antarabangsa, membawa kepada sekatan kewangan ke atas Moscow, dan mendorong keluarnya firma global dari Rusia.

Sekurang-kurangnya 636 orang awam terbunuh dan 1,125 cedera di Ukraine sejak permulaan perang, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun, jumlah sebenar mungkin lebih tinggi kerana akses ke kawasan permusuhan yang meningkat masih terhad.

Kira-kira 2.8 juta orang juga telah melarikan diri ke negara jiran, kata agensi pelarian PBB.

Disiarkan pada: March 15, 2022 @ 5:04pm
d