Asia

Israel kesan varian baharu Covid-19

Oleh Agensi

New Delhi: Varian baharu Covid-19 dilaporkan dikesan di Israel.

Menteri Kesihatannya berkata, pada Rabu, dua penumpang yang tiba di Israel didapati dijangkiti varian baharu berkenaan.

Strain baharu ialah gabungan dua subvarian versi Omicron bagi virus Covid-19, digelar BA.1 dan BA.2.

Indiatoday melaporkan, varian baharu itu dikesan ketika ujian PCR ke atas dua penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Ben Gurion Israel, agensi berita AFP melaporkan pada Rabu.

Seorang wanita muda menjangkiti bayi dan kedua-dua ibu bapanya, kata seorang pegawai.

"Varian ini masih tidak diketahui di seluruh dunia," kata kementerian kesihatan dalam satu kenyataan.

Demam rendah, sakit otot dan sakit kepala adalah antara gejala ringan varian terbaharu ini, dan ia tidak memerlukan rawatan khas.

Ketua Pengarah Kesihatan Israel Nachman Ash berkata, varian baharu itu mungkin berasal dari Israel.

"Kemungkinan mereka telah dijangkiti sebelum menaiki penerbangan di Israel. Varian itu mungkin muncul di sini," kata Nachman Ash.

Bagaimanapun, pakar kesihatan Israel memaklumkan, varian baharu itu dijangka tidak menyebabkan gelombang jangkitan baharu di negara itu.

"Fenomena varian gabungan sudah diketahui umum," kata seorang pegawai sambil menambah ketika ini, "kami tidak bimbang mengenai (varian baharu yang membawa kepada) kes yang serius".

Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel Naftali Bennett berkata, pada Selasa beliau akan bertemu pegawai kesihatan termasuk Menteri Kesihatan Nitzan Horowitz untuk menangani peningkatan jangkitan Covid-19 di beberapa tempat di seluruh dunia.

Disiarkan pada: March 17, 2022 @ 2:01pm
d