Asia

Polis Australia jumpa mayat lelaki Malaysia

Oleh Agensi

Sydney: Polis Australia menemui satu mayat lelaki dipercayai warga Malaysia di kawasan luar bandar di barat laut Bathurst di New South Wales, pada Ahad.

Mayat didakwa milik Jacky Chong Kai Wong itu dijumpai kira-kira 3.30 petang selepas penyiasat memulakan pencarian di sebuah kawasan luar bandar di Killongbutta.

Chong dipercayai meninggal dunia antara 25 Disember 2020 dan 8 Januari 2021.

Portal 9news melaporkan, pihak berkuasa memaklumkan jasad itu akan menjalani pemeriksaan forensik dan proses pengecaman menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identitinya.

Namun, walaupun mayat belum dikenal pasti secara rasmi tetapi polis percaya ia adalah milik Chong.

Pada 2021, pasukan petugas polis yang menyiasat kes sindiket dadah mendapati warga Malaysia berusia 24 tahun itu tidak dapat dikesan.

Tiga lelaki berumur 33, 22 dan 28 didakwa pada akhir Mac berhubung kematian Chong, lapor The Australian.

Chong sudah menetap di Sydney sejak 2016 namun tidak berhubung dengan keluarganya sejak 28 Disember 2020.

Keluarganya memberitahu polis bahawa mereka percaya Chong mungkin bekerja di New South Wales sebelum kehilangannya.

Disiarkan pada: April 4, 2022 @ 2:43pm
d