Asia

Israel buka semula laluan ke Semenanjung Gaza

Oleh AFP

Baitulmaqdis: Israel hari ini mula membuka semula satu-satunya laluannya yang menghubungkan Semenanjung Gaza kepada pekerja Palestin.

Kementerian Pertahanan berkata, pembukaan itu dinilai selepas dua minggu pergolakan berlaku.

"Berikutan penilaian keadaan keselamatan, ia diputuskan... untuk membuka Lintasan Erez bagi laluan pekerja dan pemegang permit dari Semenanjung Gaza ke Israel, mulai Ahad," kata COGAT, unit kementerian pertahanan Israel yang bertanggungjawab untuk hal ehwal awam Palestin.

Lintasan itu digunakan 12,000 rakyat Palestin dengan permit untuk bekerja di Israel.

Israel menutup lintasan itu pada 3 Mei lalu menjelang hari peringatan dan kemerdekaan negara Israel dan di tengah-tengah keganasan Palestin di Tebing Barat walaupun bahagian depan Gaza sunyi.

Israel dan Hamas bertempur berulang kali sejak 15 tahun lalu dengan yang terbaharu Mei tahun lalu.

Pihak berkuasa Israel bimbang ketegangan dan keganasan di dalam dan sekitar Baitulmaqdis pada April, apabila umat Islam menyambut bulan suci Ramadan akan membawa satu lagi konflik dengan Gaza, namun itu tidak berlaku.

Laporan Bank Dunia baru-baru ini meletakkan 48 peratus kadar pengangguran di Gaza dengan membabitkan kira-kira 2.3 juta orang di wilayah Palestin.

Bekerja di Israel menjadi talian hayat penting kepada ekonomi wilayah itu.

Disiarkan pada: May 15, 2022 @ 3:28pm
d