Asia

Sriya artis K-pop pertama dari India

Oleh Agensi

New Delhi: Sriya Lenka, 18, menjadi artis K-pop pertama berasal dari India apabila dipilih untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan pop Korea, Blackswan, bersama Gabriela Dalcin dari Brazil.

Sriya dan Gabriela akan berada di Seoul untuk beberapa bulan akan datang bagi menjalani sesi latihan.

Independent melaporkan label Blackswan, DR Music membuat pengumuman itu di Instagram.

"Sriya dan Gabi (Gabriela) akhirnya dipilih sebagai ahli Blackswan selepas menyertai program uji bakat global sepanjang tempoh enam bulan lalu," kata DR Music dalam satu catatan.

Blackswan membuat penampilan sulungnya pada tahun 2020.

Kumpulan itu kini terdiri daripada enam ahli - Youngheun, Fatou, Judy, Leia, Sriya dan Gabi.

Menurut The News Insight, Sriya dilahirkan di Rourkela, Odisha, India pada tahun 2003. Dia menerima latihan tarian klasik Hindustan dan Odissi serta tarian kontemporari lain.

"Memandangkan saya mempunyai suara yang dalam, saya menghadapi kesukaran untuk mencari jurulatih vokal yang betul. Nenek saya membantu saya mencarinya.

"Dia membawa saya kepada guru muzik klasik Hindustan yang mengajar saya dua kali seminggu. Tetapi, untuk lagu Barat, saya terpaksa bergantung pada video dalam talian dan pembelajaran kendiri," kata remaja itu dipetik daripada Odisha Bytes.

Sriya yang dipilih tahun lalu itu antara finalis untuk berlatih bersama Blackswan di Seoul ketika sebelumnya pencarian global untuk ahli kelima bermula selepas seorang ahli, Hyeme keluar dari kumpulan berkenaan pada November 2020.

Pada Mei tahun lalu, DR Music mengumumkan uji bakat global untuk menggantikan Hyeme.

Sriya dan Gabi adalah dua finalis terpilih daripada 4,000 pemohon.

Blackswan sebelum ini sepatutnya memilih hanya seorang ahli, tetapi memutuskan untuk melantik Sriya dan Gabi.

"Dengan penampilan sulung mereka, kami akan kembali dengan Blackswan baharu," menurut DR Music di Instagram.

Dalam tempoh lima bulan yang lalu, Sriya dan Gabi sudah menjalani proses latihan merangkumi pelajaran vokal, rap dan tarian standard kepada latihan peribadi, bahasa dan alat muzik.

Disiarkan pada: May 30, 2022 @ 7:01am
d