Asia

Bina 'batu nisan' memperingati Internet Explorer

Oleh Agensi

Seoul: Sebuah batu nisan didirikan di Korea Selatan untuk memperingati Internet Explorer (IE) selepas Microsoft mengumumkan penutupan pelayar web (web browser) Microsoft yang pernah dominan satu ketika dulu pada Rabu.

Berikutan itu, Microsoft tidak lagi menawarkan kemas kini atau pembaikan versi sedia ada dan pengguna akan disyorkan untuk menggunakan penggantinya, Microsoft Edge.

Ladbible.com melaporkan, biarpun ada pengguna web yang memperlekehkan IE, masih ada yang berduka dengan berita itu dan salah satunya adalah Korea Selatan.

Batu nisan itu dikatakan dibina sebagai monumen peringatan dan penghormatan kepada IE.

Ia terletak di bandar Gyueongju di sebelah salah satu gereja terkecil dan tertulis ayat 'alat yang baik untuk memuat turun pelayar lain' pada batu nisan berkenaan

Gambar batu nisan itu dimuat naik di laman sosial menerusi satu hantaran dengan kapsyen, 'Mengingati pencapaiannya yang tiada tandingannya'.

Walaupun IE dikatakan lembab sejak adanya Chrome dan Firefox, ia sebenarnya paling banyak digunakan di negara seperti Korea Selatan dan Jepun.

Sehingga 2014, warga Korea Selatan dikehendaki secara sah menggunakan IE untuk membeli-belah dan perbankan dalam talian.

Kerajaan juga mencipta 'sijil digital' untuk maklumat peribadi rakyat menggunakan Microsoft ActiveX.

Disiarkan pada: June 18, 2022 @ 10:10am
d