Asia

Tembak ibu tiri berang bapa kahwin lagi

Oleh Agensi

Jakarta: Berang bapanya kahwin lagi, seorang remaja berusia 18 tahun cuba membunuh ibu tirinya dalam kejadian yang dilaporkan di Kampung Tanjung Baru, Tanjung Lebat di Lahat.

Kompas.com melaporkan, Pegawai Polis Kota Agung berkata, mangsa dikenali sebagai Desa Satriani berasal dari Desa Tekul, Pagar Gunung.

Menurutnya, kejadian dilaporkan bermula di rumah seorang penduduk bernama Jangsani di Desa Kedaton, sekitar jam 6.30 petang.

"Ketika kejadian, wanita itu sedang mengunjungi Jangsani untuk bertemu rakannya yang lain dikenali sebagai Ayu.

"Suspek datang membawa senapang angin namun ketika itu mangsa bernasib baik kerana sempat melarikan diri ke dalam rumah dan mengunci pintu," katanya.

Katanya, menjelang malam, Satriani dilaporkan keluar dari rumah dan tiba-tiba terdengar bunyi tembakan sebelum menyedari punggungnya berdarah.

"Mangsa mengalami kecederaan akibat ditembak dan dibawa ke hospital manakala suspek melarikan diri," katanya.

Tambahnya, remaja itu pulang ke rumah dan bertemu ayahnya, Carli di Desa Tanjung Baru.

"Carli menasihati anaknya supaya bertenang dan menyerah diri (kepada polis) namun suspek bertambah berang dan menembak kaki ayahnya itu," katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 8:42am
d