Asia

Batal nikah pengantin lelaki terlalu gelap

Oleh Agensi

New Delhi: Seorang pengantin perempuan di India nekad membatalkan perkahwinannya hanya disebabkan sukar menerima warna kulit pasangannya yang didakwa terlalu gelap.

India Times melaporkan Neeta Yadav dikahwinkan dengan Ravi Yadav dalam majlis berlangsung di Bharthana, Etawah, Uttar Pradesh namun hilang 'rasa' untuk meneruskan upacara perkahwinan pada saat terakhir.

Dia menyatakan hasrat membatalkan pernikahannya ketika upacara 'pheras' kedua dan tidak melengkapkan tujuh tawaf mengelilingi api suci.

Dakwa Neeta, pengantin lelaki yang diperkenalkan kepadanya sebelum ini bukanlah lelaki yang dinikahinya pada hari itu dan dia tidak menyukai warna kulit pasangannya kerana terlalu gelap.

Ahli keluarganya merayu agar Neeta meneruskan upacara itu namun wanita itu meninggalkan majlis selepas enam jam usaha memujuk gagal.

Pernikahan itu dibatalkan dan bapa pengantin lelaki membuat laporan polis kerana mendakwa barang kemas bernilai ribuan rupee yang diberikan kepada pengantin perempuan sebagai hadiah tidak dikembalikan kepada mereka.

Selain itu, pengantin lelaki turut memaklumkan maruahnya tercalar akibat penolakan itu.

Disiarkan pada: July 11, 2022 @ 7:00am
d