Asia

Indonesia henti sementara hantar pekerja ke Malaysia

Oleh Reuters

Kuala Lumpur: Indonesia berkata pada Rabu bahawa ia telah menghentikan sementara penghantaran pekerja ke Malaysia, termasuk beribu-ribu yang diambil untuk sektor perladangan, berikutan pelanggaran perjanjian pengambilan pekerja yang ditandatangani antara kedua-dua negara.

Pembekuan itu merupakan tamparan terbaharu bagi Malaysia - pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia dan penghubung utama dalam rantaian bekalan global - yang menghadapi kekurangan kira-kira 1.2 juta pekerja yang boleh menjejaskan pemulihan ekonomi.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, memberitahu Reuters pembekuan itu dikenakan selepas pihak berkuasa imigresen Malaysia terus menggunakan sistem pengambilan dalam talian untuk pembantu rumah yang dikaitkan dengan dakwaan pemerdagangan dan buruh paksa.

Operasi berterusan sistem itu melanggar syarat perjanjian yang ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia pada April, bertujuan untuk meningkatkan perlindungan pekerja domestik, kata Hermono.

Menteri Sumber Manusia Malaysia, S Saravanan mengesahkan menerima surat daripada pihak berkuasa Indonesia memaklumkan pembekuan itu.

Beliau memberitahu Reuters bahawa pihaknya akan membincangkan perkara itu dengan Kementerian Dalam Negeri, yang menyelia jabatan imigresen.

Syarikat Malaysia telah mengemukakan kira-kira 20,000 permohonan untuk pekerja, kira-kira separuh daripadanya adalah untuk pekerjaan dalam sektor perladangan dan pembuatan, menurut Hermono.

Malaysia bergantung kepada berjuta-juta pekerja asing, yang kebanyakannya berasal dari Indonesia, Bangladesh, dan Nepal, untuk mengisi pekerjaan kilang dan ladang yang diketepikan oleh penduduk tempatan.

Tetapi walaupun pembekuan pengambilan akibat pandemik ditarik semula pada Februari, Malaysia tidak melihat kemasukan pekerja asing yang ketara di tengah-tengah kelulusan kerajaan yang perlahan dan perbincangan yang berlarutan dengan negara sumber mengenai perlindungan pekerja.

Ini kerana terdapat kebimbangan yang semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini mengenai layanan terhadap pekerja asing, dengan tujuh syarikat Malaysia diharamkan oleh Amerika Syarikat dalam dua tahun lalu kerana apa yang disifatkannya sebagai "buruh paksa".

Disiarkan pada: July 13, 2022 @ 5:02pm
d