Asia

New Zealand buka sepenuhnya sempadan [METROTV]

Oleh Reuters

Wellington: Sempadan New Zealand dibuka semula sepenuhnya kepada pelawat dari seluruh dunia pada Isnin, dan ia julung kalinya selepas penutupannya akibat Covid-19 sejak Mac 2020.

Sempadan New Zealand sebelum ini dibuka pada Februari untuk warga tempatan dengan sekatan beransur-ansur dilonggarkan.

Proses membuka semula sempadan berakhir malam tadi dengan pelawat memerlukan visa dan mereka yang mempunyai visa pelajar kini juga dibenarkan pulang ke New Zealand.

New Zealand kini turut membenarkan kapal persiaran dan kapal layar rekreasi asing berlabuh di pelabuhannya.

Kebanyakan pelawat yang tiba di New Zealand masih perlu menerima vaksin, dan mesti menjalani dua ujian saringan Covid-19 sebaik tiba, namun tidak perlu menjalani kuarantin.

Sementara itu, Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern ketika berucap di Sidang Kemuncak Perniagaan China di Auckland pada Isnin berkata, pembukaan sempadan peringkat akhir adalah saat yang sangat besar.

"Ia adalah proses berperingkat dan pihak kami perlu berhati-hati melakukannya sejak Februari kerana kami bersama-sama seluruh dunia terus menguruskan wabak global dan memastikan rakyat selamat," katanya.

Penuntut antarabangsa adalah penyumbang penting kepada ekonomi New Zealand dan penyedia pendidikan berharap pembukaan semula sempadan akan memberikan rangsangan kepada sekolah dan universiti di seluruh negara.

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan New Zealand Stuart Nash berkata, kedatangan semula kapal persiaran juga akan menjadi rangsangan kepada industri tempatan.

"Kebanyakan pelayaran adalah pada musim panas iaitu Oktober hingga April. Musim panas adalah musim pelancongan utama kami. Ini bermakna ia akan merancakkan lagi industri," kata Nash.

Disiarkan pada: August 1, 2022 @ 10:41am
d