Asia

Populasi China mula mengecil menjelang 2025 [METROTV]

Oleh AFP

Beijing: Populasi China akan mula mengecil menjelang 2025, berikutan saiz keluarga yang semakin kecil serta usia warga negara, kata pegawai.

Negara yang paling ramai penduduk di dunia, kini sedang bergelut dengan krisis demografi yang semakin tinggi apabila berdepan tenaga kerja yang semakin tua, ekonomi perlahan dan pertumbuhan penduduknya yang paling lemah dalam beberapa dekad.

Walaupun pegawai melonggarkan 'dasar satu anak' pada 2016, dan membenarkan pasangan mempunyai tiga anak pada tahun lalu, kadar kelahiran menjunam ke paras terendah.

"Kadar pertumbuhan penduduk merosot dengan ketara, dan ia akan memasuki tahap pertumbuhan negatif dalam tempoh 'Rancangan Lima Tahun ke-14'," kata Suruhanjaya Kesihatan Negara pada Isnin, merujuk kepada tempoh antara 2021 dan 2025.

Pada Januari, pihak berkuasa berkata, ramalan menjangkakan penduduk akan memasuki pertumbuhan sifar atau 'pertumbuhan negatif' dalam tempoh lima tahun itu.

"Pada masa ini, sistem polisi negara untuk sokongan bersalin tidak sempurna, dan terdapat jurang yang besar antara pembangunan populasi dan jangkaan rakyat," kata NHC dalam laporan terbarunya.

Kadar kesuburan turun bawah 1.3 dalam beberapa tahun kebelakangan ini, katanya sambil menambah negara itu dijangka memasuki tahap penuaan teruk sekitar 2035, dengan lebih 30 peratus penduduk berusia lebih 60 tahun.

Keluarga juga semakin kecil, 'melemahkan' fungsi pencen dan penjagaan kanak-kanak, kata suruhanjaya kesihatan, menyeru supaya sokongan membesarkan anak dan dasar mengenai perumahan, pendidikan dan cukai ditambah baik untuk membantu mengurangkan beban keluarga.

Pihak berkuasa di beberapa bahagian China sudah pun memperkenalkan dasar mesra keluarga dalam usaha memerangi kadar kelahiran yang perlahan.

Bandar di timur Hangzhou pada Isnin mengumumkan, keluarga dengan tiga anak dapat membuat pinjaman 20 peratus lebih daripada had maksimum apabila memohon pinjaman kumpulan wang simpanan perumahan buat kali pertama.

Bandar lain seperti Nanchang dan Changsha juga sudah melancarkan dasar sokongan, menurut media kerajaan.

Kos sara hidup yang lebih tinggi dan peralihan budaya apabila orang ramai sudah membiasakan diri dengan keluarga yang lebih kecil antara punca kelahiran bayi lebih rendah.

'Dasar satu anak' diperkenalkan oleh pemimpin tertinggi Deng Xiaoping pada 1980 untuk menyekat pertumbuhan penduduk dan menggalakkan pembangunan ekonomi, dengan beberapa pengecualian dibuat untuk keluarga luar bandar dan etnik minoriti.

Disiarkan pada: August 2, 2022 @ 12:00pm
d