Asia

Lebih 100 pegawai dihukum gagal bendung Covid-19

Oleh Agensi

Tibet: Lebih 100 pegawai di Tibet dipecat atau diberikan amaran bulan ini kerana gagal membendung penularan wabak Covid-19.

Tibet menyumbang hampir 500 kes baharu Covid-19 daripada hampir 1,300 kes yang dilaporkan di China semalam, dengan negeri jirannya, Xinjiang dan pulau selatan Hainan menjadi lokasi utama penularan wabak berkenaan, lapor SCMP.

Walaupun jumlah kes tidak setinggi yang direkodkan di negara lain, jumlah berkenaan dianggap sebagai penularan besar-besaran di bawah dasar ketat sifar Covid-19 di China yang bertujuan mengekang penularan jangkitan tempatan.

Seramai 22 pegawai di ibu kota wilayah Lhasa dikenakan tindakan tatatertib minggu lalu kerana cuai dalam aspek kawalan wabak Covid-19.

Lima daripada mereka dipecat dan selebihnya diberikan amaran keras, lapor akhbar Tibet Daily yang memetik kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

Di Xigaze, bandar yang terletak di barat daya Tibet, yang mana wabak itu bermula, 77 pegawai berdepan tindakan tatatertib bulan ini kerana mengabaikan tugas dalam memerangi Covid-19.

Daripada jumlah itu, 10 daripada mereka diberhentikan.

Sementara itu, menurut Profesor Madya di Universiti Nasional Singapura bagi Sekolah Lee Kuan Yew bagi Dasar Awam (LKYSPP), Alfred Wu, langkah bersifat keras itu menunjukkan dasar sifar Covid-19 masih menjadi perkara utama dalam agenda politik China menjelang kongres parti tahun ini, walaupun kerajaan telah mengurangkan syarat kemasukan ke negara itu, dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

Disiarkan pada: August 28, 2022 @ 5:06pm
d