Asia

Kontroversi 'nafkah' ibu bapa

Oleh Agensi

Beijing: Suami isteri di China yang meninggalkan anak perempuan mereka ketika dia masih kecil tiba-tiba muncul semula beberapa dekad kemudian.

Kehadiran 'tanpa diundang' itu berlaku selepas mengetahui anak perempuan mereka, kini kaya dan meminta sebuah rumah diberikan kepada abangnya.

Zhang baru berusia dua tahun apabila ibu bapanya memutuskan mereka tidak dapat membesarkannya lagi dan meletakkannya dalam jagaan ahli keluarga yang lain.

Sejak tinggal berasingan, mereka tidak mengambil tahu perkembangan kehidupan wanita itu.

Kanak-kanak perempuan yang ditinggalkan itu kini sudah berusia 29 tahun, dan menganggap keluarga ibu saudaranya sebagai keluarga kandung.

Atas sebab itu, dia menggunakan sebahagian wang simpanannya untuk membantu sepupunya yang dia anggap abangnya untuk membeli sebuah apartmen, baru-baru ini.

Bagaimanapun, dia tidak pernah menjangka tindakannya itu membuatkan ibu bapa kandungnya datang bertanya khabar.

Dalam pertemuan itu juga, ibu bapa kandungnya turut meminta wanita itu membelikan abangnya sebuah apartmen.

Agensi berita, Shandong Business Daily melaporkan, ibu bapa kandung Zhang yang tinggal di Guangzhou, menuntut dia menjaga anak lelaki mereka kerana kini berdepan masalah kewangan.

Keengganan wanita itu melayan permintaan itu menyebabkan dia disaman ibu bapanya sebanyak 500,000 yuan (kira-kira RM324,000) yang dikatakan sebagai 'nafkah'.

Mahkamah di China, baru-baru ini, mengeluarkan keputusan kontroversi apabila memerintahkan Zhang menyara ibu bapanya namun tidak perlu membelikan apartmen untuk abangnya.

Keputusan itu bagaimanapun mengundang rasa tidak puas hati rakyat negara itu dengan sebahagian besar komen mengkritik ibu bapa Zhang.

"Adakah mereka 'pontianak'? Bapa menghisap darah kakaknya, dan kini dia dan isterinya mahu mengalirkan darah daripada anak perempuan mereka," kata seorang netizen.

"Zhang sangat bertuah kerana tidak dibesarkan dalam keluarga asalnya. Mengerikan!," kata seorang lain netizen.

Disiarkan pada: September 21, 2022 @ 11:31am
d