Asia

Bot terbalik, 24 maut

Oleh AFP

Dhaka: Sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan selebihnya dikhuatiri hilang selepas bot yang dinaiki mereka terbalik di sebuah sungai di Bangladesh, semalam.

Pegawai polis tempatan, Shafiqul Islam berkata, bot itu penuh dengan 50 penumpang yang dalam perjalanan ke sebuah kuil berusia berabad-abad yang tiba-tiba terbalik dan tenggelam di tengah-tengah sungai Karotoa berhampiran bandar Boda di utara Bangladesh.

Katanya, kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.

Seorang lagi, pegawai polis berkata, sehingga kini 25 orang dilaporkan masih hilang.

Media tempatan melaporkan, sekurang-kurangnya 10 orang diselamatkan dan dihantar ke hospital.

Rakaman telefon bimbit yang disiarkan stesen TV Channel 24 menunjukkan, bot yang sesak itu tiba-tiba terbalik menyebabkan penumpang terhumban dalam sungai berwarna coklat dan berlumpur.

Puluhan orang yang melihat kejadian itu dari daratan, mula menjerit.

Cuaca dilaporkan tenang pada masa itu.

Setiap tahun, ribuan penganut Hindu di Bangladesh mengunjungi Kuil Bodeshwari.

Ahad menandakan permulaan Durga Puja, perayaan Hindu terbesar di Bangladesh dan timur India hingga menarik ramai orang ke kuil itu.

Disiarkan pada: September 26, 2022 @ 9:53am
d