Asia

1,200 peserta tunjuk perasaan kena tahan

Oleh AFP

Tehran: Lebih 1,200 penunjuk perasaan ditahan di Iran, sebagai tindakan keras pihak berkuasa dalam usaha menamatkan 10 hari tempoh rusuhan akibat kematian Mahsa Amini.

Iran mengerahkan pasukan keselamatan yang jumlah yang banyak bagi menentang rusuhan yang semakin merebak di seluruh negara.

Media tempatan melaporkan, jumlah tangkapan yang dilaporkan secara rasmi daripada pelbagai pegawai meningkat kepada lebih 1,200 orang termasuk 450 di utara wilayah Mazandaran, lebih 700 dilaporkan di Gilan, pada Sabtu, dan puluhan lagi di beberapa wilayah lain.

Protes meletus lagi di seluruh Iran, semalam, ketika orang ramai menjerit 'mati kepada diktator', menyeru pengunduran pemerintahan lebih tiga dekad pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei, 83, dalam rakaman yang dikongsi kumpulan Hak Asasi Manusia Iran (IHR) yang berpangkalan di Oslo.

Pada hujung minggu, rusuhan turut berlaku di seluruh dunia termasuk London dan Paris dengan orang ramai terutama wanita melemparkan tudung mereka dalam unggun api, dan tempat pembuangan sampah sebagai tanda solidariti.

Sementara itu, Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell mengecam tindakan Iran kerana penggunaan kekerasan yang meluas dan tidak seimbang terhadap penunjuk perasaan.

Katanya, EU akan terus mempertimbang semua pilihan yang ada padanya untuk menangani kes kematian Mahsa dan tindak balas negara terhadap protes di Iran, sebuah negara yang sudah pun dikenakan sekatan ke atas program nuklearnya.

Kementerian Luar Negeri Jerman pula semalam berkata, mereka memanggil duta Iran kerana tindakan keras terhadap penunjuk perasaan dengan perbincangan ditetapkan berlangsung petang ini.

Bagi Tehran pula berkata, mereka memanggil Duta Britain untuk membantah apa yang dipanggil jemputan rusuhan oleh media bahasa Parsi yang berpangkalan di London, dan wakil Norway kerana komen tidak membina speaker Parlimen negara itu mengenai rusuhan berkenaan.

Amerika Syarikat minggu lalu mengenakan sekatan terhadap polis moral, manakala Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau semalam berkata, negaranya sendiri akan mengikutinya sebagai sebahagian daripada pakej sekatan ke atas puluhan individu dan entiti.

Disiarkan pada: September 27, 2022 @ 11:35am
d