Asia

Sekurang-kurangnya 30 terbunuh tembakan di Thailand

Oleh AFP

Bangkok: Seorang bekas pegawai polis bersenjatakan pistol dan pisau menyerbu sebuah taska di timur laut Thailand pada Khamis, menembak mati sekurang-kurangnya 30 orang termasuk kanak-kanak sebelum membunuh dirinya dan keluarganya, kata polis.

Penyerang, bersenjatakan senapang patah, pistol dan pisau, melepaskan tembakan ke arah pusat jagaan kanak-kanak di wilayah Nong Bua Lam Phu pada kira-kira 12:30 tengah hari sebelum melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki kenderaan, kata pasukan itu.

"Angka kematian akibat insiden tembakan... sekurang-kurangnya 30 orang," kata Anucha Burapachaisri, jurucakap pejabat perdana menteri Thailand.

Kolonel polis Jakkapat Vijitraithaya, dari wilayah di mana serangan itu berlaku, mengenal pasti lelaki bersenjata itu sebagai Panya Khamrab, seorang leftenan kolonel polis yang menurutnya telah dipecat daripada pasukan tahun lalu kerana menggunakan dadah.

Jakkapat berkata terdapat 23 kanak-kanak maut, berumur dua hingga tiga tahun.

Pembunuhan beramai-ramai itu berlaku kurang sebulan selepas seorang pegawai tentera yang sedang berkhidmat menembak mati dua rakan sekerja di pangkalan latihan tentera di ibu negara Bangkok.

Walaupun Thailand mempunyai kadar pemilikan senjata yang tinggi, penembakan besar-besaran amat jarang berlaku.

Tetapi pada tahun lalu, terdapat sekurang-kurangnya dua kes tembakan membabitkan tentera, menurut Bangkok Post.

Pada 2020, dalam salah satu insiden terburuk pernah dicatatkan, seorang askar menembak mati 29 orang dalam kejadian amuk 17 jam dan mencederakan lebih banyak lagi sebelum dia ditembak mati oleh komando.

Tembakan beramai-ramai itu dikaitkan dengan pertikaian hutang antara lelaki bersenjata Sarjan-Mejar Jakrapanth Thomma dan seorang pegawai kanan tentera.

Disiarkan pada: October 6, 2022 @ 4:43pm
d