Asia

Pesawat Korean Air tergelincir dari landasan

Oleh BERNAMA

Manila: Syarikat penerbangan, Korean Air Lines Co mengesahkan penerbangan KE631 dengan 173 penumpang tergelincir daripada landasan ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Cebu di Filipina, tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

Korean Air menyatakan kesal dengan kejadian itu kerana pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan dalam semua operasinya, menurut agensi berita Yonhap.

"Siasatan menyeluruh akan dilakukan bersama-sama pihak berkuasa penerbangan tempatan dan pihak berkuasa Korea untuk menentukan punca kejadian ini," kata Presiden Korea Air Woo Kee Hong dalam satu kenyataan.

Syarikat itu tetap komited untuk berdiri di sebalik janji semua operasinya selamat dan akan melakukan yang terbaik untuk melaksanakan langkah mencegah sebarang kejadian berulang, katanya.

Penumpang diiringi ke tiga hotel tempatan dan penerbangan alternatif sedang diaturkan, kata kenyataan itu.

Pesawat A330-300 yang membawa 162 penumpang dan 11 anak kapal, cuba mendarat dua kali dalam cuaca buruk, dan pada percubaan ketiga tergelincir daripada landasan pada 11.07 malam.

Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan berkata, mereka akan menubuhkan pasukan tindak balas kecemasan untuk membantu menangani insiden di negara Asia Tenggara itu.

Pada masa ini, lapangan terbang Cebu ditutup buat sementara waktu berikutan pesawat yang terhenti dan penerbangan lain ke Cebu sedang dilencongkan ke lapangan terbang berdekatan atau kembali ke tempat asal mereka.

Disiarkan pada: October 24, 2022 @ 10:07am
d