Asia

Meninggal dunia selepas kali pertama mandi

Oleh Agensi

Tehran: Seorang lelaki dari Iran yang digelar 'manusia paling kotor' di dunia kerana tidak mandi selama 65 tahun dilaporkan meninggal dunia pada usia 94 tahun.

Kematiannya dilaporkan hanya beberapa bulan selepas mandi untuk pertama kali, dalam beberapa dekad.

BBC melaporkan, Amou Haji enggan menggunakan sabun dan air selama lebih setengah abad, bimbang ia akan menyebabkan dia sakit.

Warga Iran itu yang tinggal di wilayah selatan Fars, sebelumnya mengelak percubaan penduduk kampung yang mahu membersihkannya.

Tetapi, media tempatan berkata, Amou Haji akhirnya tunduk kepada tekanan dan 'dicuci', beberapa bulan lalu.

Menurut agensi berita Iran, Irna, tidak lama selepas itu, lelaki itu jatuh sakit dan meninggal dunia, Ahad lalu.

Dalam temu bual dengan Tehran Times pada 2014, dia mendedahkan makanan kegemarannya adalah landak.

Selain itu, dia tinggal antara lubang di tanah dan pondok bata yang dibina oleh jiran prihatin di kampung Dejgah.

Dia memberitahu, pada masa itu pilihan luar biasanya adalah disebabkan "masalah emosi" ketika dia masih muda.

Bertahun-tahun tidak mandi menyebabkan kulitnya diselaputi "jelaga dan nanah", kata IRNA, manakala dietnya terdiri daripada daging busuk dan air tidak bersih yang diminum daripada tin minyak lama.

Dia juga gemar meroko dan pernah digambarkan sekurang-kurangnya satu kali menghisap lebih daripada satu rokok sekali gus.

Percubaan untuk memandikannya, atau menawarkan air bersih kepadanya, membuatnya sedih, kata agensi berita itu.

Bagaimanapun, sama ada dia memegang rekod paling lama tidak mandi adalah perkara yang menjadi perdebatan.

Pada 2009, terdapat laporan mengenai seorang lelaki India yang ketika itu tidak mencuci atau menggosok gigi selama 35 tahun.

Disiarkan pada: October 26, 2022 @ 12:11pm
d