Asia

Nasib umur masih panjang!

Oleh Agensi

New Delhi: Seorang kanak-kanak perempuan di India terselamat, selepas terbabit kemalangan di tapak bangunan yang menyebabkan batang besi menembusi dari tekak hingga ke mulutnya, baru-baru ini.

Kanak-kanak berusia lapan tahun dikenali sebagai Taiba itu bermain di perkampungan Bhulanpur, di daerah Kheri di Uttar Pradesh, India, apabila dia terjatuh di atas batang besi.

Pakar bedah mengambil masa 35 minit untuk mengeluarkan batang besi berkenaan dari mulutnya dengan berhati-hati.

Insiden mengerikan itu berlaku pada 4 Oktober lalu.

Besi itu bagaimanapun tidak mengena saraf penting atau saluran darah ke otak mangsa dan dia masih boleh bercakap dalam masa lapan jam.

Dia kini sudah berada di rumah dan dijangka pulih sepenuhnya.

Dr Rajkumar Koli, yang mengetuai pembedahan itu berkata: "Ia adalah kes paling menyedihkan yang (pernah) saya temui dalam kerjaya saya."

Ketika kejadian, batang besi itu menembusi rahang bawah budak itu dan keluar dari mulutnya, sebelum kanak-kanak lain berlari untuk mendapatkan bantuan daripada keluarganya.

Mereka memotong sebahagian batang besi itu dan membawa budak itu ke hospital daerah terdekat, terletak 15 kilometer jauhnya di Motipur.

Dr Koli berkata, memandangkan kanak-kanak itu kritikal, beliau dipanggil untuk melakukan pembedahan kecemasan.

"Saya memeriksa nadi pesakit dan memahami bahayanya, memberitahu ibu bapa kanak-kanak itu untuk membawanya ke Kolej Perubatan Lucknow (terletak) kira-kira 140 kilometer jauhnya.

"Tetapi ibu bapa tidak berada dalam kedudukan untuk membawa kanak-kanak itu sejauh itu, dan meminta saya menjalankan pembedahan.

"Ia adalah situasi yang mencabar kerana kemudahan sinar-X di hospital daerah tidak tersedia selepas jam 5 petang.

"Saya kemudian segera memaklumkan kepada pakar bius untuk menggunakan bius setempat dan memulakan pembedahan bagi menyelamatkan saluran darah utama.

"Batang itu tersangkut dengan kuat, dan untuk melonggarkan saya terpaksa membuat potongan satu sentimeter dan menarik batang itu keluar perlahan-lahan. Prosedur itu hanya mengambil masa kira-kira 35 minit."

Doktor kata, lebih bernasib baik batang besi itu tidak tersangkut di salur darah ke otak dan tekak.

"Selepas tiga hari, pesakit dibenarkan keluar wad," katanya.

Disiarkan pada: October 26, 2022 @ 2:38pm
d