Asia

'Doktor' gila seks

Oleh Agensi

Singapura: Seorang lelaki gila sanggup menyamar sebagai pakar sakit puan demi mendapat 35 gambar kemaluan wanita.

Ooi Chuen Wei, 37, menyamar sebagai doktor wanita di sebuah hospital swasta di negara ini, kemudiannya dijatuhi hukuman penjara 40 bulan pada Rabu.

Warga Malaysia itu mengaku bersalah atas enam pertuduhan penyamaran yang dikenakan ke atasnya, manakala 15 lagi masih dipertimbangkan.

Dalam prosiding di mahkamah, Ooi dikatakan membuka akaun Facebook (FB) pada akhir 2016 dengan menggunakan nama Dr Janice Lee Yan Hooi.

Tertuduh mendakwa sebagai doktor wanita yang bertugas di Pusat Perubatan Gleneagles Singapura. selain menggunakan wajah profil seorang wanita.

Bagi memastikan akaun FB kelihatan tulen, Ooi turut menambah rakan FB lelaki dan perempuan selain mendaftar profil Instagram dan LinkedIn menggunakan nama sama.

Selepas mengenal pasti wanita untuk dijadikan mangsa, dia kemudian akan menghantar mesej memperkenalkan dirinya sebagai Dr Lee.

Dia kemudian menawarkan untuk berkongsi pelan perubatan untuk kesihatan payudara dan seksual dengan yuran konsultasi bulanan.

Tertuduh juga mendakwa pelan perubatan itu sudah mendapat kelulusan daripada Pusat Perubatan Gleneagles.

Lelaki itu kemudian akan menghantar prosedur arahan kepada mangsa untuk mengurut payudara dan alat kelamin dan meminta mangsa menghantar video prosedur itu kepadanya.

Video itu dikatakan penting untuk tertuduh meneliti lebih lanjut, jika ada sebarang isu kesihatan dalam kalangan 'pesakitnya'.

Video itu turut membantunya menawarkan pelan perubatan yang sesuai dengan keadaan kesihatan pesakit.

Timbalan Pendakwa Raya, R Arvindren berkata, tertuduh akan memuat turun dan menyimpan video dan gambar itu selepas dia menerimanya.

Arvindren berkata, Ooi akan mengelak daripada bercakap dengan mangsa supaya tembelangnya pecah.

Dalam tempoh 2018 hingga 2021, 35 mangsa sudah menghantar 919 gambar dan video kepada Ooi.

Cubaan lelaki itu untuk menipu tujuh lagi mangsa tetapi tidak berjaya.

Disiarkan pada: October 27, 2022 @ 1:43pm
d