Asia

Leher tercucuk batang besi

Oleh Agensi

New Delhi: Lelaki di India dibawa ke hospital selepas tertusuk batang besi sepanjang lima kaki atau kira-kira 1.5 meter (m) di lehernya, baru-baru ini.

Karthikeyan secara tidak sengaja tergelincir dan jatuh dari tingkat satu rumahnya di bandar Tiruchirappalli, di negeri selatan, Tamil Nadu.

Metro UK melaporkan, ketika lelaki berusia 33 tahun itu terjatuh 20 kaki (kira-kira enam m), sebatang batang besi dengan bahagian tepi yang bergerigi menembusi lehernya.

Menurut laporan tempatan, pesakit dalam keadaan sedar sepenuhnya ketika keluarganya membawanya ke hospital berhampiran, dan dia kemudian menjalani pembedahan selama tiga jam.

Doktor pada mulanya tidak dapat melakukan imbasan sinar-X pada luka Karthikeyan, jadi hanya ultrabunyi dapat dilakukan terhadap lelaki itu.

Dr Mohamed Mansoor berkata: "Selepas pesakit stabil, kami akan mengeluarkan batang besi (dalam prosedur) membabitkan pasukan pakar.

"Kami tidak dapat melakukan apa-apa jenis pengimejan atau imbasan sinar-X.

"Jadi hanya ultrabunyi di sebelah katil dilakukan untuk memastikan tiada kecederaan vaskular (tisu-tisu pembuluh) yang besar. Batang besi itu kemudiannya dipendekkan pada kedua-dua belah pihak dengan bantuan jurutera penyelenggaraan di hospital," katanya.

Secara ajaib, Karthikeyan terselamat dan 'sangat bertuah' kerana sudah pulih.

Dr Mohamed menegaskan ia adalah pembedahan yang 'mencabar' kerana leher adalah tempat saluran leher, makanan dan arteri karotid.

"Sepasukan pakar memastikan tiada organ atau saluran utama di leher itu cedera," tambahnya.

Beliau berkata, kes kecederaan leher yang teruk seperti ini jarang berlaku, dan peluang untuk hidup dalam kes itu agak rendah di negeri berkenaan.

"Pesakit benar-benar bertuah kerana dibawa ke hospital dengan cepat dan juga suaranya tidak terjejas oleh insiden ini," katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2022 @ 12:38pm
d