Asia

Bangunan kediaman 35 tingkat di Dubai terbakar

Oleh Agensi

Dubai: Kebakaran yang melanda sebuah bangunan tinggi 35 tingkat di Dubai berhampiran Burj Khalifa, bangunan tertinggi di dunia, awal pagi Isnin, dapat dikawal, kata pihak berkuasa tempatan.

Penduduk dipindahkan tanpa sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa, menurut Pertahanan Awam Dubai.

Arab News melaporkan, dalam satu kenyataan, Pertahanan Awam Dubai berkata, anggota bomba dimaklumkan mengenai kebakaran sebahagian daripada siri menara yang dipanggil 8 Boulevard Walk by Emaar pada 3.11 pagi.

Kebakaran itu menjejaskan struktur menara, lapor Pertahanan Awam Dubai.

Ia dipadamkan dalam masa tiga jam.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Emaar berkata, syarikat itu bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk menentukan punca kebakaran.

"Emaar juga bekerjasama dengan penduduk yang terjejas akibat kejadian itu untuk memastikan mereka dijaga," tambah jurucakap itu.

Pada Malam Tahun Baru pada 2015, kebakaran melanda Address Downtown, salah satu hotel dan kediaman paling mewah di Dubai berhampiran Burj Khalifa.

Kebakaran di bangunan pencakar langit Dubai dalam beberapa tahun kebelakangan ini menimbulkan persoalan mengenai keselamatan pelapis dan bahan lain yang digunakan di negara itu.

Disiarkan pada: November 8, 2022 @ 9:56am
d