Asia

Dua maut nahas Tesla di China

Oleh Agensi

Beijing: Dua orang maut dalam satu kemalangan ngeri di China dipercayai berpunca daripada masalah teknikal sebuah kenderaan keluaran Tesla Series Y.

Kenderaan itu yang dikatakan tidak berfungsi memecut laju ke laluan dari arah hadapan hingga mengakibatkan kemalangan di Guangdong, China, minggu lalu.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pemandu cuba memakir kereta selepas kereta itu berhenti di tepi jalan.

Kereta itu boleh dilihat secara tiba-tiba berpatah balik ke jalan raya sebelum memecut laju menyusuri jalan sempit itu.

Sebuah skuter dan penunggang basikal yang berada di jalan sama dirempuh, sebelum kereta itu turut merempuh kenderaan yang menghampiri dan sebuah kedai berhampiran.

Keluarga pemandu memberitahu media tempatan, lelaki berusia 55 tahun itu hilang kawalan ke atas kereta itu, dan tidak dapat bertindak balas apabila menekan pedal brek.

Polis juga mengesahkan, pemandu kenderaan itu yang dipercayai bekerja sebagai pemandu lori tidak berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah ketika kejadian.

Dalam temu bual dengan media China, pemandu itu yang dikenal pasti dengan nama keluarganya Zhan berkata, dia beranggapan kereta itu tidak berfungsi.

"Saya menekan butang untuk parkir tetapi tiba-tiba ia memecut laju.

"Ia membuatkan saya 'berlumba' di jalan raya dan walaupun cuba menekan brek berulang kali, ia tetap tidak berjaya.

"Berbekalkan pengalaman saya sebagai seorang pemandu trak, saya tahu apa yang perlu dilakukan jika brek saya gagal ketika di kawasan cerun, jadi selepas saya hilang kawalan kereta, saya segera mula mencari sesuatu halangan untuk merempuh bagi memberhentikan kereta itu," katanya.

Zhan berkata, dia merasakan pergerakan pada pedal brek tetapi ia tidak bertindak balas apabila dia menekan sepenuhnya alat itu.

Pengeluar kereta elektrik yang dimiliki Elon Musk, Tesla sejak itu bercanggah pendapat dengan pengalaman dialami Zhan.

Tesla menafikan bertanggungjawab ke atas nahas itu, namun pihaknya akan menyediakan sebarang bantuan diperlukan termasuk membantu siasatan polis.

Katanya, rakaman pengawasan menunjukkan lampu brek kenderaan itu kekal padam dan tiada percubaan dibuat Zhan untuk menekan brek.

Ini bukan kali pertama Tesla berdepan dakwaan perkakasannya menjadi punca kemalangan dengan sistem bantuan pemandu canggihnya seperti mod pandu auto disyaki menyebabkan lebih 37 perlanggaran dan 17 kematian sejak 2016.

Disiarkan pada: November 15, 2022 @ 1:00pm
d