Asia

Ibu dikecam kerana benarkan anak 'ubah' mata

Oleh Agensi

Tokyo: Seorang ibu di Jepun menerima kecaman kerana membenarkan anak perempuannya yang berusia sembilan tahun menjalani pembedahan kelopak mata untuk menjadi lebih cantik.

Di Jepun, pembedahan plastik adalah sah untuk sesiapa yang berumur di bawah 18 tahun selagi mendapat kebenaran ibu bapa atau penjaga yang sah.

Menurut laporan VICE Asia, baru-baru ini, sesetengah ibu bapa menggalakkan anak mereka menjalani rawatan kosmetik sebagai prosedur untuk meningkatkan penampilan fizikal mereka.

Dalam episod terbaru siri Deadly Beauty, majalah dalam talian itu memaparkan Rucchi dan Micchi, pasangan ibu dan anak Jepun yang saluran YouTubenya memfokuskan pada solekan dan pembedahan plastik.

Untuk membantu anak perempuannya yang berusia sembilan tahun menjadi lebih cantik, Rucchi menyuruhnya menjalani blefaroplasti atau pembedahan kelopak mata berganda.

Ibu kanak-kanak itu berkata, sejak dia masih kecil, dia tahu mempunyai kelopak mata jenis 'monolid' dianggap hodoh.

Setiap kali dia dan kakaknya berjalan di kawasan kejiranan, adik-beradiknya sentiasa menerima pujian pada matanya yang besar dan cantik, manakala dia hanya diabaikan kerana matanya.

Si ibu menjalani pembedahan kelopak mata berganda ketika berusia 18 tahun, tetapi kenangan zaman kanak-kanak menyebabkan dia mahu anak perempuannya menjalani pembedahan sama pada usia lebih muda.

Rucchi membayar AS$2,850 (RM12,944) untuk pembedahan mata anak perempuannya yang memerlukan pembedahan pada lipatan kelopak matanya dan memotong kulit yang kendur.

Ia sepatutnya mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja, tetapi akibat komplikasi, kanak-kanak perempuan itu akhirnya menghabiskan masa sekitar dua jam di meja bedah.

Micchi memberitahu VICE, dia menjalani pembedahan kerana orang selalu menegur matanya 'sepet dan kelihatan seperti menjeling ke arah orang'.

Namun, dia mendakwa, hidupnya tidak benar-benar berubah sejak menjalani blefaroplasti .

Rucchi berkata, orang sentiasa memuji anak perempuannya dan memberitahu, dia kelihatan lebih comel sekarang.

Ibu itu turut mengesahkan anaknya bakal menjalani pembedahan hidung dan jika tidak yakin dengan saiz buah dadanya, dia akan menggalakkan mereka untuk menjalani pembesaran payudara juga.

Disiarkan pada: November 16, 2022 @ 1:37pm
d