Asia

Ibu bunuh bayi 10 hari

Oleh Agensi

Sumatera Selatan: Seorang wanita sanggup membunuh bayi perempuan berusia 10 hari menggunakan senjata tajam, di Muara Enim, di sini, kelmarin.

Wanita berusia 22 tahun itu dipercayai mengelar leher bayinya selepas dikatakan enggan menyerahkannya kepada seorang wanita berusia 49 tahun.

Menurut polis, kejadian berlaku pada 5.o5 petang waktu Indonesia Barat.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Muara Enim AKP Toni Saputra berkata, pada awalnya ibu muda itu bersetuju menyerahkan bayinya kepada wanita berkenaan untuk dijaga selepas melahirkannya.

Sebelum kejadian, Toni berkata, ibu bayi berkenaan ke rumah wanita terbabit untuk melihat anaknya.

Dia kemudian diminta masuk ke bilik memandangkan bayi berkenaan sedang tidur.

Namun, seorang saksi berusia 19 tahun melihat ibu bayi terbabit berlumuran darah sambil memegang pisau ketika keluar dari bilik.

"Saksi melihat bayi berkenaan luka di bahagian leher dan meminta bantuan daripada keluarganya.

"Ibu bayi berkenaan ditangkap dan diserahkan kepada pihak polis," katanya.

Toni berkata, siasatan mendapati pada mulanya, ibu bayi berkenaan bersetuju menyerahkan hak penjagaan kepada wanita terbabit selepas ketika mangsa dilahirkan.

Bagaimanapun, dia mengubah fikiran dan ingin menjaga anaknya semula.

Tetapi wanita berkenaan tidak bersetuju sebelum ibu bayi berkenaan nekad membunuh anaknya sendiri.

"Dia dipercayai bertindak membunuh bayinya sendiri selepas wanita terbabit enggan menyerahkannya semula.

"Bagaimanapun, kes ini masih dalam siasatan. Polis akan menjalankan ujian psikiatri untuk mengetahui motif kejadian.

"Pakar akan memeriksa ibu bayi berkenaan untuk mengetahui sama ada dia mengalami gangguan mental atau sebaliknya," katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2022 @ 11:42am
d