Asia

Larang wanita ke universiti kerana percampuran jantina

Oleh AP

Kabul: Menteri pengajian tinggi kerajaan Taliban, semalam mempertahankan keputusannya melarang wanita melanjutkan pengajian ke universiti.

Membincangkan hal itu pertama kali di khalayak umum, Nida Mohammad Nadim berkata, larangan yang dikeluarkan awal minggu lalu perlu bagi mengelak percampuran jantina di universiti dan kerana beliau percaya sesetengah subjek yang diajar bertentangan dengan prinsip Islam.

Beliau berkata, larangan itu kekal berkuat kuasa sehingga dimaklum kelak.

Dalam temubual bersama televisyen Afghanistan, Nadim turut menyelar kecaman antarabangsa terhadap dasar itu, termasuk dari negara Islam seperti Arab Saudi, Turkiye dan Qatar.

Katanya, pihak luar perlu berhenti campur tangan dalam hal ehwal dalaman Afghanistan.

Semalam, menteri luar negara G7 mendesak Taliban untuk membatalkan larangan itu, dengan amaran "penganiayaan gender menyumbang kepada jenayah kemanusiaan."

Kenyataan dikeluarkan selepas mesyuarat secara virtual itu dengan menteri berkenaan berkata, "polisi Taliban yang direka untuk menghapuskan wanita daripada kehidupan awam akan memberi kesan kepada bagaimana hubungan negara dengan Taliban."

Kumpulan G7 termasuk Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

Nadim dilantik sebagai menteri pada Oktober lalu oleh pemimpin tertinggi Taliban dan sebelum ini pernah berjanji untuk menghapuskan sistem persekolahan sekular.

Beliau menentang pendidikan wanita dengan mengatakan ia bertentangan nilai-nilai Islam dan Afghanistan.

Alasan lain terhadap larangan itu adalah wanita dikatakan gagal untuk mematuhi kod berpakaian selain kajian terhadap subjek dan kursus tertentu.

"Kami meminta perempuan mengenakan tudung dengan betul tetapi mereka tidak mematuhinya, dan sebaliknya mereka berpakaian seolah mahu ke majlis perkahwinan.

"Pelajar perempuan belajar kejuruteraan dan pertanian, tetapi ini tidak sepadan dengan budaya Afghanistan. Perempuan perlu belajar tetapi bukan dalam bidang ini yang bertentangan nilai Islam dan kehormatan Afghanistan," kata Nadim.

Beliau berkata, usaha memperbaiki isu itu sedang dilaksana dan universiti akan dibuka semula kepada wanita apabila perkara berkenaan diselesaikan.

Taliban menabur janji sama terhadap peluang bersekolah untuk kanak-kanak perempuan, yang mana mereka dibenar ke kelas semula apabila 'isu teknikal' membabitkan pakaian seragam dan pengangkutan diperincikan, namun sehingga kini ia masih tidak berlaku.

Taliban mendakwa pihaknya sedang menyelesaikan masalah yang dikatakan diwarisi daripada pemerintahan terdahulu sejak mengambil alih tahun lalu.

Dakwanya, rakyat tidak mematuhi peraturan dan ia mewajarkan larangan universiti.

Disiarkan pada: December 23, 2022 @ 9:35am
d