Asia

Tidak sedar isteri 'tercicir' 150km

Oleh Agensi

Bangkok: Seorang suami di Thailand melakukan kesalahan 'besar' apabila meninggalkan isterinya lebih 150 kilometer (km) selepas berhenti membuang air kecil di tepi jalan.

Kejadian berlaku ketika Boontom Chaimoon, 55, dan isterinya, Amnuay Chaimoon dalam perjalanan pulang ke Maha Sarakham dari Bangkok selepas bercuti sempena Hari Natal lalu.

India Times melaporkan percutian pasangan itu berjalan lancar hinggalah mereka nekad pulang untuk menyambut tahun baharu di rumah dan bergerak pada jam 3 pagi.

ketika perjalanan itu, Boontom tiba-tiba berasa mahu kencing dan memberhentikan keretanya di tepi jalan, namun dia tidak sedar isterinya turut keluar dari kereta itu dan ke hutan berhampiran untuk 'urusan sama'.

Sebelum itu, Amnuay mempersoalkan tindakan suaminya berhenti di tepi jalan sedangkan boleh berhenti di stesen minyak untuk ke tandas.

Selepas selesai, Boontom kemudian memasuki kereta dan memandu pulang tanpa sedar isterinya sudah tiada di tempat duduk penumpang.

Amnuay yang terkejut melihat kereta suaminya hilang kemudian berjalan di dalam gelap untuk mendapatkan bantuan hinggalah pada jam 5 pagi, dia tiba di Kabin Buri, tenggara Thailand yang sejauh 20km serta meminta tolong pihak berkuasa.

Dia yang tertinggal telefon bimbit di dalam kereta itu hanya berjaya menghubungi suaminya pada jam 8 pagi dengan bantuan polis.

Ketika itu, Boontom masih tidak sedar isterinya 'tercicir' dan dia sejauh 159.6km.

Amnuay berkata, mereka tidak bertengkar ketika suaminya datang menjemputnya walaupun kecuaian lelaki itu melampau.

Dalam laporan New York Post, wanita itu memberitahu sudah berkahwin dengan suaminya selama 27 tahun dan mereka dikurnia seorang anak lelaki yang berusia 26 tahun.

Disiarkan pada: January 3, 2023 @ 3:03pm
d