Asia

Bakar kekasih hidup-hidup

Oleh Agensi

New Delhi: Tertekan akibat didesak teman wanita supaya berkahwin, menyebabkan lelaki tergamak membelasah sebelum membakar wanita itu hidup-hidup.

Polis Palladam mengesahkan penahanan suspek G Lokesh, 22, dari Rayarpalayam Khamis lalu, sehari selepas membunuh Pooja, 19.

Seorang pegawai penyiasat mendedahkan, Lokesh menjalin cinta dengan Pooja yang menetap di kawasan sama lebih setahun.

Katanya, pasangan kekasih itu berkenalan di tempat kerja sama.

"Hubungan mereka tidak berjalan lancar sejak beberapa bulan lalu kerana perbezaan pendapat.

"Wanita muda itu sering menghubungi Lokesh melalui telefon dan memintanya untuk mengahwininya," katanya.

Polis berkata, Pooja dan Lokesh bertemu di Appan Kadu, kawasan terpencil di Jalan Palladam-Pethapalayam untuk menyelesaikan masalah mereka, kira-kira 3.45 petang, Rabu lalu.

"Perbualan mesra mereka berakhir dengan pertengkaran sengit.

"Dalam keadaan marah, Lokesh memukulnya dengan tali pinggang dan mengetuk kepalanya dengan batu.

"Apabila Pooja pengsan, lelaki itu menyiramnya dengan petrol yang dia bawa dalam botol sebelum membakarnya hidup-hidup," katanya dalam portal Times Of India.

Apabila penduduk tempatan menyedari kebakaran itu, mereka bergegas ke tempat kejadian dan memadamkan api.

Pooja di bawa ke hospital kerajaan Palladam sebelum dirujuk ke Kolej Perubatan dan Hospital Combatore (CMCH).

Bagaimanapun, wanita itu disahkan meninggal dunia di CMCH, pagi Khamis lalu.

Lokesh masih dalam tahanan reman dan berdepan hukuman mengikut Seksyen 302 (pembunuhan) Kanun Keseksaan India.

Disiarkan pada: January 8, 2023 @ 2:45pm
d