Asia

Penduduk panik gempa bumi kuat gegar timur Indonesia

Oleh AFP

Jakarta: Gempa bumi kuat bermagnitud 7.6 melanda luar pantai Indonesia dan Timor-Leste, awal Selasa, lapor Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Pusat gempa itu terletak kira-kira 427 kilometer (km) di selatan pulau Ambon di Indonesia, pada kedalaman 95 km, kata USGS.

Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia melaporkan beberapa gegaran susulan, direkodkan pada magnitud 5.5.

Agensi itu berkata, gegaran turut dirasai di pulau Timor, kepulauan Maluku, dan Papua.

Bagaimanapun, tiada laporan diterima mengenai kerosakan atau mangsa.

"Saya berada di atas katil, kemudian berasa sedikit gegaran. Saya tersedar dan dapati ramai rakan saya turut merasakannya," kata Hamdi, salah seorang penduduk Indonesia di Ambon, kepada AFP.

Agensi Migitasi Bencana Negara (BNPB) pula mendedahkan sekurang-kurangnya 15 rumah dan dua sekolah rosak di Kepulauan Tanimbar akibat gempa bumi kuat yang melanda luar pantai Indonesia dan Timor-Leste, awal Selasa.

Gegaran paling kuat dirasai di Saumlaki, bandar terbesar di kepulauan itu dengan populasi 8,000 orang, katanya.

"Agensi bencana tempatan melaporkan seorang cedera. Gegaran dirasai kuat (di Tanimbar), antara tiga hingga lima saat.

"Orang ramai panik dan melarikan diri dari rumah mereka," kata jurucakap BNPB Abdul Muhari dalam satu kenyataan Selasa.

Gambar yang dikongsi agensi itu menunjukkan kerosakan rumah di beberapa kampung di daerah Maluku Barat Daya.

Di sebuah kampung, bumbung dan dinding beberapa rumah yang rosak runtuh.

Serpihan dan barangan rumah bertaburan di atas tanah.

Gempa bumi itu menyebabkan tiang lampu bergoyang dan penduduk bertempiaran lari dari bangunan dan ke jalan di Tual, sebuah pelabuhan di kepulauan Maluku berdasarkan video dimuat naik pengguna di Twitter.

Agensi geofizik Indonesia memberi amaran mengenai kemungkinan tsunami sebelum menarik semula peringatan itu.

Gempa itu dirasai sehingga ke Darwin, ibu kota Wilayah Utara Australia dengan sekurang-kurangnya 1,000 individu melaporkannya kepada agensi Geosains Australia.

Disiarkan pada: January 10, 2023 @ 10:18am
d