Asia

Katak gergasi 2.7 kg

Oleh Agensi

Brisbane: Katak gergasi seberat 2.7 kilogram ditemukan di hutan hujan di kawasan utara Australia.

Katak digelar 'Toadzilla' dengan saiz enam kali lebih besar daripada katak biasa dan boleh memecahkan rekod dunia itu, ditemukan pegawai hidupan liar.

Renjer hutan, Kylee Gray berkata, beliau mula melihat spesies amfibia besar itu semasa melakukan rondaan di Queensland, dan menyangka ia palsu.

"Saya tidak pernah melihat sesuatu yang begitu besar kelihatan seperti bola sepak dan menggelarnya 'Toadzilla'," katanya kepada Perbadanan Penyiaran Australia.

Berikutan penemuan itu, beliau berkata, pasukannya segera menangkap 'Toadzilla' yang dipercayai betina dan meletakkan ia di dalam bekas sebelum dibawa ke pangkalan untuk ditimbang.

Katanya, mereka sudah menjangkakan katak itu berat, namun terkejut apabila mendapati beratnya dapat mencipta rekod baharu dunia.

Rekod Dunia Guinness semasa untuk katak terbesar adalah 2.65 kilogram di Sweden yang dinamakan Prinsen pada 1991.

Gray juga tidak menolak kemungkinan spesimen gergasi itu memakan serangga, reptilia dan mamalia kecil.

Katanya, katak tidak mempunyai pemangsa semula jadi di Australia dan spesies beracun itu mengancam populasi haiwan lain.

Beliau tidak pasti usia 'Toadzilla', namun spesies itu boleh hidup sehingga 15 tahun dan beliau percaya haiwan itu sudah lama hidup.

'Toadzilla' itu dimatikan, seperti amalan biasa di Australia untuk haiwan perosak dan akan diserahkan kepada Muzium Queensland.

Katak pertama kali diperkenalkan ke Australia pada tahun 1935 adalah salah satu daripada haiwan perosak di negara itu dan kini dianggarkan berjumlah ratusan juta.

Disiarkan pada: January 23, 2023 @ 2:14pm
d