Asia

Bayi Afra dinamakan sempena arwah ibu

Oleh AP

Damsyik: Bayi perempuan yang dianggap 'ajaib' selepas dilahirkan di bawah runtuhan rumahnya yang dilanda gempa bumi di Syria, kini dijaga ibu saudara sebelah bapanya.

Bayi itu berada di hospital beberapa jam selepas gempa bumi pada 6 Februari lalu.

Dia dibenarkan keluar hospital, Sabtu lalu, dan ibu saudara serta bapa saudaranya mengambilnya sebagai anak angkat dan memberinya nama baharu, Afraa, sempena nama arwah ibunya.

Ibu Afraa meninggal dunia dalam tragedi itu bersama bapa dan empat adik-beradiknya.

Sehari selepas bayi itu tiba di hospital, pegawai perubatan di sana menamakannya sebagai Aya yang bermaksud 'tanda daripada Tuhan' dalam bahasa Arab.

Kisah Afraa dikongsi secara meluas menerusi laporan berita dari seluruh dunia. Banyak pihak menawarkan untuk membantunya dengan beberapa orang mengatakan mereka ingin mengambilnya sebagai anak angkat.

Bagaimanapun, saudara-maranya berkata, walau sesukar manapun keadaan mereka, tempat terbaik untuk bayi itu adalah bersama keluarga.

Pada Isnin, Afraa dijaga oleh bapa saudaranya, Khalil al-Sawadi yang kini tinggal bersama saudara-mara di bandar Jindayris di utara Syria, selepas rumahnya turut musnah dalam gempa bumi.

Al-Sawadi dan isterinya mempunyai empat anak perempuan dan dua anak lelaki dan kini, Afraa akan tinggal bersama sepupunya.

"Dia adalah salah seorang anak saya sekarang. Saya tidak akan membezakan antara dia dan anak saya," kata al-Sawadi yang juga sepupu kepada ibu bapa bayi yang baru lahir itu kepada The Associated Press, sambil duduk bersila memegang Afraa dengan dikelilingi enam anaknya.

Tambahnya, beberapa hari selepas Afraa dilahirkan, isterinya melahirkan seorang anak perempuan, Attaa.

Ketika dirawat di hospital di bandar Afrin, isteri pengarah hospital berkenaan menyusukan Afraa.

Media sebelum itu melaporkan susulan gempa bumi di utara Syria dan tenggara Turkiye pada Februari,

bayi itu ditemukan masih bertali pusat di sisi ibunya yang sudah meninggal dunia di bawah runtuhan di bandar Jindayris, Syria.

Disiarkan pada: February 21, 2023 @ 11:18am
d