Asia

Bunuh majikan kerana sakit hati

Oleh Agensi

Jakarta: Siasatan pembunuhan wanita berusia 29 tahun yang juga pemilik kedai ayam goreng di Sukakarya, Bekasi, Jawa Barat mendapati kes itu bermotifkan dendam kerana sakit hati terhadap mangsa yang sering berdalih mengenai masalah gaji.

DetikNews melaporkan, dua suspek berusia 21 dan 14 tahun yang juga pekerja wanita itu mengaku melakukan pembunuhan itu dan menculik bayi mangsa berusia setahun lima bulan kerana berterusan menangis ketika mereka melakukan jenayah terbabit.

Pengarah Polis Metro Jaya Hengki Haryadi dilaporkan berkata, kronologi pembunuhan bermula pada jam 8 pagi, 16 Februari lalu, ketika mangsa menutup pintu geluncur kedai kerana mahu menguruskan bayinya yang masih berusia 17 bulan.

Katanya, suspek tiba-tiba muncul dan memukul kepala mangsa dengan tong gas sehingga wanita itu terbunuh.

"Melihat mangsa masih hidup, suspek kembali memukul kepala mangsa dengan tong gas sebanyak empat kali. Keseluruhannya suspek memukul korban dengan tong gas sebanyak 10 kali," kata Hengki.

Selepas membunuh majikan mereka itu, kedua-dua suspek menculik bayi mangsa dan merancang membawanya ke ke Yogyakarta, namun gagal kerana kedua-dua suspek tidak memiliki wang mencukupi.

"Akhirnya, mereka meninggalkan bayi itu di pos ronda kosong di Subang, Jawa Barat. Ketika meninggalkan bayi itu di situ, mereka meninggalkan kad pengenalan mangsa bagi membolehkan bayi berkenaan ditemukan dan dipulangkan kepada warisnya," katanya.

Pada Rabu, siasatan mendapati, suspek juga mencuri wang dan telefon bimbit mangsa,

"Kedua-dua suspek merancang melarikan diri dengan membawa wang 950,000 rupiah (RM277) dan telefon bimbit milik mangsa," kata jurucakap Polis Metro Jaya Trunoyudo Wisnu Andiko dan menegaskan polis masih lagi menjalankan siasatan kes itu.

Disiarkan pada: February 22, 2023 @ 1:42pm
d