Asia

Terus kuat Sham...

Oleh AFP

Idlib, Syria: Terperangkap di bawah runtuhan bangunan selama 40 jam akibat gempa bumi melanda Syria pada 6 Februari lalu, kanak-kanak berusia sembilan tahun yang diselamatkan hidup-hidup ketika itu, kini berdepan risiko kedua-dua kakinya dipotong kerana kerosakan tisu akibat kecederaan teruk, kata doktor.

Kanak-kanak itu, Sham Sheikh Mohammad, sebelum ini diraikan kerana keberaniannya selepas mendendangkan lagu bersama-sama penyelamat White Helmets yang bekerja selama enam jam untuk membebaskannya daripada konkrit, adegan yang dirakam dalam rakaman yang tular dalam talian.

"Dia memberi kami kekuatan apabila kami mendengarnya," sukarelawan, Mohammed Nasreddine, memberitahu AFP, sambil mengimbas kembali bagaimana mereka akan mendendangkan lagu yang dipanggil 'Damascus' bersama-sama.

"Kegembiraan kami tidak dapat digambarkan apabila dia keluar," kata Mohammed Nasreddine, sukarelawan kumpulan White Helmets yang terkenal kerana menyelamatkan ramai penduduk daripada bangunan dibom di wilayah dikuasai pemberontak di negara itu sepanjang perang saudara Syria.

Sham, seperti kebanyakan mangsa yang terselamat daripada gempa bumi berukuran 7.8 magnitud mengorbankan lebih 44,000 orang di seluruh Turkiye dan Syria pada 6 Februari, kini mengalami apa yang doktor panggil 'sindrom crush'.

Ia berlaku pada anggota badan yang tersekat dan peredaran darah terlalu lama bermula dengan sakit teruk pada bahagian terjejas, tetapi kelihatan sihat pada peringkat awal.

Dalam keadaan yang dikenali dengan istilah perubatan rhabdomyolysis, saraf otot mati dan dilepaskan ke dalam aliran darah, kadangkala menyebabkan kegagalan buah pinggang.

Pesakit pada mulanya kelihatan dalam keadaan baik sebelum kesihatan mereka mula merosot.

"Inilah yang kami panggil 'senyuman kematian'," kata pakar bedah ortopedik Tarek Mustafa, yang menjelaskan ia boleh menyebabkan komplikasi jantung dan lain-lain yang boleh membawa maut.

"Sham adalah seorang daripada beberapa pesakit yang menghidap sindrom iyu yang dimasukkan ke hospital di rantau ini," kata Dr Mustafa, yang berkhidmat di wilayah Idlib dan melaporkan sekurang-kurangnya 100 kes sedemikian.

Ramai daripada mangsa yang terkorban ini adalah kanak-kanak yang trauma, ada masih terkejut kerana kehilangan seorang atau kedua-dua ibu bapa dalam tragedi itu.

Ibu dan kakak Sham terbunuh apabila kediaman keluarga itu runtuh di bandar Armanaz, di wilayah barat laut Idlib, manakala bapa dan dua abangnya turut terselamat.

Keluarga itu berpindah ke sana pada 2019 selepas melarikan diri daripada serangan tentera rejim Syria, yang menguasai semula sebahagian besar wilayah negara itu sejak perang bermula pada 2011.

Kemungkinan pemotongan kaki Sham ditangguhkan buat masa ini, tetapi dia masih belum selamat, kata Dr Mustafa, yang bekerja di salah sebuah hospital yang dikendalikan oleh Persatuan Perubatan Amerika Syria di barat laut.

Apabila White Helmets mendengar kaki Sham mungkin dipotong, mereka menyiarkan ciapan meminta pengikut berdoa untuknya dan untuk mangsa lain yang terselamat dalam memerangi sindrom crush.

Disiarkan pada: February 22, 2023 @ 2:04pm
d