Asia

Pengantin baharu maut sebelum resepsi

Oleh Agensi

New Delhi: Tragis apabila suami isteri yang baru berkahwin ditemukan mati dengan kesan tikaman di badan dekat bilik di rumah mereka, baru-baru ini.

Portal NDTV melaporkan, mayat kedua-duanya ditemukan sebelum resepsi perkahwinan mereka di Raipur, ibu kota Chhattisgarh, kata polis pada Rabu lalu.

Polis mengesyaki berlaku pergaduhan tercetus membabitkan pasangan berkenaan, dan lelaki itu disyaki menikam isterinya hingga mati sebelum membunuh diri.

Menurut seorang pegawai, insiden lewat petang Selasa lalu itu berlaku di Brijnagar, kawasan di bawah kendalian balai polis Tikrapara.

Aslam, 24, dan Kahkasha Bano, 22, melangsungkan pernikahan pada Ahad dan resepsi perkahwinan mereka dijadual diadakan pada malam Selasa lalu.

Difahamkan, pasangan itu sedang bersiap untuk majlis itu di dalam bilik mereka.

Ibu pengantin lelaki kemudian mendengar jeritan mempelai perempuan, jadi dia terus bergegas ke arah bilik bagi melihat apa sebenarnya yang berlaku.

"Bilik itu dikunci dari dalam dan ahli keluarga mengintai melalui tingkap dan kemudian mendapati pasangan itu terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.

"Mereka kemudiannya melaporkan perkara itu kepada polis," katanya.

Setibanya di tempat kejadian, polis tidak berlengah dan terus memecahkan pintu.

Mayat pasangan itu kemudian ditemukan dengan kecederaan tikaman dan dibawa ke hospital untuk bedah siasat, manakala sebilah pisau ditemukan di tempat kejadian.

"Dipercayai, ada pertengkaran tercetus antara pasangan itu.

"Pengantin lelaki itu menyerang isterinya menggunakan pisau dan kemudian membunuh diri.

"Bagaimanapun, siasatan berhubung kes itu masih berjalan," katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2023 @ 11:43am
d