Asia

Usia 10 bulan, berat sudah 27 kg

Oleh Agensi

Jakarta: Usia seorang bayi lelaki di Indonesia baru berusia 10 bulan, namun beratnya mencecah 27 kilogram (kg).

The Sun melaporkan, berikutan itu, Muhammad Kenzi Alfaro terpaksa dipakaikan dengan baju bapanya.

Bukan setakat itu, Muhammad Kenzi hanya muat memakai lampin bersaiz 3XL.

Rakaman video bayi itu tular ketika ibunya membantunya duduk di rumah mereka di Bandung, Indonesia.

Pitriah berkata, badan Muhammad Kenzi terlalu besar sehingga kereta sorong bayi tidak cukup kuat untuk menampungnya.

Muhammad Kenzi masih belum boleh duduk atau berdiri sendiri kerana usianya yang masih muda, tetapi terus membesar.

Bayi itu dikatakan sudah muat memakai baju bapanya yang berusia 41 tahun.

"Badan ayahnya juga kecil. Pakaian ayah hanya muat untuknya, kadang-kadang juga dipakai pada anak saya," katanya.

Pitriah berkata, lampin yang mereka beli untuk Muhammad Kenzi tidak 'cukup kuat', jadi mereka menggunakannya ketika bayi itu tidur pada waktu malam untuk menjimatkan wang.

Menurut Pitriah, tidak banyak produk lampin bersaiz 3XL dijual di bandar mereka, jadi Muhammad Kenzi terpaksa memakai lampin bersaiz 2XL, namun lampin saiz itu terlalu kecil.

"Jadi saya pakaikan (Muhammad Kenzi) dengan lampin 2XL... (kerana lampin) 3XL di kedai itu tidak ada," katanya.

Selepas meneliti berat bayi lelaki itu, pekerja kesihatan Indonesia menyediakan rawatan pesakit luar intensif kepadanya.

Muhammad Kenzi dilaporkan sedang menjalani pemeriksaan rutin di Hospital Hermina Bekasi, Jawa Barat, sebagai usaha menurunkan berat badan bayi itu.

Mengikut anggaran, Muhammad Kenzi mempunyai berat yang sama dengan purata kanak-kanak berusia lapan tahun.

Purata berat bayi 16 bulan adalah kira-kira 10 kg meletakkan Muhammad Kenzi 17 kg lebih berat berbanding bayi seusianya.

Disiarkan pada: February 23, 2023 @ 12:41pm
d