Asia

TikTok perkenal had masa 60 minit untuk remaja

Oleh AP

Beijing: TikTok pada Rabu memaklumkan setiap akaun pengguna di bawah 18 tahun akan mempunyai had masa skrin selama 60 minit dalam beberapa minggu akan datang.

Perubahan itu dibuat kerana adanya kebimbangan yang semakin meningkat daripada kerajaan mengenai keselamatan aplikasi berkenaan.

Ia juga berikutan kesukaran ibu bapa untuk mengehadkan masa anak mereka untuk menonton perkongsian video di aplikasi dari China itu.

Ketua Amanah dan Keselamatan TikTok, Cormac Keenan menerusi perkongsian di blog memberitahu apabila had satu jam dicapai, kanak-kanak di bawah umur akan diminta memasukkan kod laluan untuk membuat keputusan aktif untuk terus menonton.

Bagi akaun pengguna berumur di bawah 13 tahun, ibu bapa atau penjaga perlu menetapkan atau memasukkan kod laluan sedia ada untuk membenarkan 30 minit masa tontonan tambahan sebaik sahaja had satu jam awal dicapai.

TikTok menetapkan tempoh satu jam selepas berunding dengan penyelidik akademik dan pakar dari Makmal Kesejahteraan Digital di Hospital Kanak-kanak Boston, Amerika Syarikat (AS).

Eksekutif media sosial, termasuk daripada TikTok dipanggil di hadapan Kongres AS untuk menjelaskan cara mereka menghalang bahaya bagi pengguna muda.

TikTok pada Rabu juga memaklumkan akan menggesa remaja untuk menetapkan had masa skrin harian.

Syarikat itu akan menghantar pemberitahuan mengenai had masa itu ke peti masuk di akaun TikTok.

Beberapa ciri keselamatan TikTok sedia ada untuk akaun remaja termasuk menetapkan akaun kepada peribadi untuk yang berumur 13 hingga 15 tahun dan menyediakan pemesejan terus hanya kepada pengguna berumur 16 tahun atau ke atas.

Disiarkan pada: March 2, 2023 @ 9:52am
d