Asia

Racun misteri jejas 5,000 pelajar

Oleh AFP

Tehran: Iran mengumumkan penahanan pertama suspek yang disyaki menjadi dalang siri keracunan misteri membabitkan 5,000 pelajar sekolah, sejak akhir November lalu.

Pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei menyeru pada Isnin supaya suspek dikesan ketika kemarahan orang ramai memuncak.

Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan sebilangan individu yang disyaki menghasilkan bahan berbahaya ditangkap di enam wilayah, termasuk ibu bapa seorang pelajar.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Iran, Majid Mirahmadi, memberitahu televisyen tempatan pada awal Selasa, badan perisikan membuat beberapa tangkapan, dan agensi berkaitan sedang menjalankan siasatan penuh.

Sebilangan besar sekolah di Iran terkena keracunan sejak akhir November, dengan pelajar mengalami gejala sesak nafas hingga loya dan vertigo, selepas terhidu bau tidak menyenangkan di kawasan sekolah.

Insiden itu juga mengakibatkan beberapa pelajar dirawat di hospital.

"Sebanyak 25 daripada 31 wilayah dan kira-kira 230 sekolah terjejas. Lebih 5,000 pelajar perempuan dan lelaki terkena keracunan.

"Pelbagai ujian dijalankan bagi mengenal pasti jenis dan punca keracunan. Setakat ini, tiada maklumat khusus diperoleh berhubung jenis racun yang digunakan," kata Mohammad-Hassan Asafari, ahli jawatankuasa pencari fakta parlimen, memberitahu agensi berita Isna, Isnin lalu.

Keracunan misteri itu mengundang kemarahan orang ramai yang mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri, tangkapan dibuat di wilayah Khuzestan, Azerbaijan Barat, Fars, Kermanshah, Khorasan dan Alborz.

"Salah seorang daripada mereka yang ditahan didakwa menggunakan anak mereka untuk membawa 'bahan yang merengsa' ke sekolah, kemudian merakam video pelajar sakit bertujuan mewujudkan persepsi, menimbulkan ketakutan dan menutup sekolah," katanya.

Tiga suspek terbabit didapati mempunyai rekod jenayah termasuk pembabitan dalam 'rusuhan baru-baru ini', istilah yang digunakan oleh pihak berkuasa Iran untuk menggambarkan protes yang dicetuskan susulan kematian Mahsa Amini.

Disiarkan pada: March 8, 2023 @ 11:39am
d