Asia

Hina Islam: Lelaki Pakistan ke tali gantung

Oleh AFP

Peshawar, Pakistan: Seorang lelaki yang dituduh menghina Islam dengan menyiarkan kandungan dalam kumpulan WhatsApp dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Antikeganasan di Peshawar, barat laut Pakistan pada Jumaat.

Syed Muhammad Zeeshan didakwa mengikut Akta Pencegahan Jenayah Elektronik dan Akta Antipengganas.

Mengikut pertuduhan diperoleh AFP, Syed Muhammad iaitu anak kepada Syed Zakaullah dijatuhkan hukuman itu selepas didapati bersalah.

Zeeshan yang berasal dari bandar barat laut Mardan turut dikenakan hukuman denda 1.2 juta rupee (RM18,800) dan penjara selama 23 tahun.

Bagaimanapun, tertuduh mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan.

Terdahulu, Muhammad Saeed, seorang penduduk Talagang di wilayah Punjab memfailkan permohonan kepada Agensi Penyiasatan Persekutuan (FIA) mengenai kejadian itu, dua tahun lalu.

Peguam Saeed, Ibrar Hussain memberitahu AFP yang anak guamnya mendapati Zeeshan menyiarkan kandungan menghina dalam kumpulan WhatsApp.

"FIA merampas telefon bimbit Zeeshan dan pemeriksaan forensik membuktikan dia bersalah," katanya.

Kenyataan mengenai agama adalah isu sensitif di Pakistan yang mempunyai penduduk majoriti Muslim kerana boleh mencetuskan rusuhan dan keganasan.

Walaupun undang-undang Pakistan melarang kenyataan berbaur keagamaan itu boleh membawa kemungkinan hukuman mati, sebelum ini, ia tidak pernah dikuatkuasakan.

Banyak kes membabitkan orang Islam menuduh sesama Islam, dan aktivis hak asasi manusia memberi amaran golongan minoriti khusus Kristian yang sering terperangkap tuduhan itu.

Menurut Suruhanjaya Kebangsaan Keadilan dan Keamanan, sebuah kumpulan hak asasi manusia dan bantuan undang-undang di Pakistan, seramai 774 orang Islam dan 760 bukan Islam dituduh menghina agama dalam tempoh 20 tahun lalu.

Disiarkan pada: March 26, 2023 @ 10:10am
d