Asia

Indonesia 'macet', lebih 120 juta dijangka mudik

Oleh Agensi

Jakarta: Sekitar 123.8 juta individu akan pulang ke kampung pada sambutan Aidilfitri tahun ini, berbanding kira-kira 85.5 juta pada 2022.

Bilangan pengembara terbabit diunjurkan meningkat berikutan pembatalan Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM), penurunan bilangan kes Covid-19, pelaksanaan cuti bersama, persepsi positif masyarakat dan keadaan ekonomi yang bertambah baik.

Malah, pihaknya menjangkakan puncak kesesakan akan berlaku pada tarikh 19 hingga 21 April nanti.

Kesesakan ke bandar pula akan berlaku ketika warga kota pulang semula ke kediaman masing-masing yang dijangka berlaku pada 24 dan 25 April serta 29 April hingga 1 Mei nanti.

Bagi mengawal lalu lintas dan kesesakan teruk yang bakal berlaku, kerajaan Indonesia menugaskan 148,211 anggota polis, tentera, kementerian, agensi dan kerajaan tempatan dalam Operasi Ketupat Aidilfitri 2023.

Operasi itu bertujuan mengawasi keselamatan dalam aktiviti mudik dan kepulangan warga Indonesia sepanjang tempoh sambutan Aidilfitri akan datang, lapor Liputan6.

Ketua Perhubungan Awam Polis Negara, Inspektor Jeneral Sandi Nugroho berkata, ia meliputi seramai 1,240 anggota dari Ibu Pejabat Polis Negara; 91,153 lagi daripada polis daerah (Polda) serta 55,818 kakitangan agensi berkaitan.

"Operasi ini dilaksanakan secara bersepadu supaya ia berjalan dengan selamat, lancar dan teratur, selari dengan slogan (operasi) - 'kepulangan yang selamat dan dikenang'," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, polis akan mendirikan sejumlah pos keselamatan dan perkhidmatan bagi menyokong pelaksanaan operasi itu.

Sebanyak 319 pos keselamatan dan 73 pos perkhidmatan akan disediakan Polda Banten, Polda Jabodetabek dan Polda Jawa Barat di Lebuh Raya Trans Jawa, selain 343 pos keselamatan serta 118 pos perkhidmatan oleh Polda Yogyakarta, Polda Jawa Tengah dan Polda Jawa Timur.

Sebanyak 247 pos keselamatan dan 134 pos perkhidmatan pula akan disediakan di Lebuh Raya Trans Sumatera yang menghubungkan Aceh dengan wilayah Lampung.

Beliau sekali gus menasihati pengembara memastikan kesihatan dan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik supaya dapat tiba di destinasi dengan selamat.

Disiarkan pada: April 2, 2023 @ 5:26pm
d