Asia

Baca ayat Kursi 110 kali 'tutup' kekejaman bunuh anak

Oleh Agensi

Jakarta: Bagi menutup perbuatan kejamnya, seorang lelaki Indonesia berpura-pura bimbang dan menyertai keluarga membaca surah Yasin 41 kali dan ayat Kursi 110 kali, sebagai ikhtiar mencari bayinya yang hilang.

Lelaki berusia 20 tahun itu juga membuat ritual menabur beras bercampur kunyit dan garam di sekeliling rumah, kononnya untuk membantu pencarian anaknya, lapor Kompas.

Hakikatnya, lelaki itu adalah dalang yang membunuh anak perempuannya berusia tiga bulan, dengan mayat ditemui dalam timbunan sampah di tebing sungai Kampung Kaliampo, Margorejo di kota Pati, Jawa Tengah, Selasa lalu.

Ketua RW 4 Kampung Pati Kidul, Widiantoro memaklumkan mayat bayi malang itu ditemukan polis kira-kira tiga kilometer (km) dari rumah ibu bapanya.

"Mayat ditemui selepas suspek mengaku membunuh anaknya. Kami terkejut kerana sebelum ini dia melaporkan anaknya hilang dan saya juga melihat dia berkumpul dengan keluarga membaca doa supaya anak ditemui," katanya.

Mangsa adalah anak kedua suspek dan dia mempunyai seorang lagi anak berumur setahun enam bulan hasil perkongsian hidup dengan isteri yang masih muda.

Dalam soal siasat, suspek mengaku kepada polis dia membunuh anaknya dengan menekap muka bayi itu dengan bantal.

"Saya menyesal," katanya yang dibawa polis pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Pati, semalam.

Dakwanya ketika kejadian, dia bergaduh dengan isteri yang tidak selesa mereka tinggal di rumah ibu bapa suspek, selain wanita itu turut menuntut perceraian.

Dia juga memberitahu emosinya terganggu apabila dua anaknya meragam dan menangis.

"Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan dan tindakan spontan menekup anak yang kecil dengan bantal hingga meninggal," katanya.

Suspek mengaku membuat laporan polis palsu mengatakan anaknya hilang dan bersama keluarganya membaca ayat suci al-Quran dan ritual yang boleh membantu pencarian.

Penduduk kampung mengenali suspek sebagai lelaki tidak bekerja yang berkahwin muda dan masih hidup di bawah tanggungan ibu bapa yang berniaga di pasar.

Disiarkan pada: May 4, 2023 @ 3:43pm
d