Asia

PRU Thailand: Kempen 24 jam terakhir

Oleh BERNAMA

Bangkok: Berbaki kurang 24 jam menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum Thailand pada Ahad, parti politik terus giat berkempen bagi menawan hati pengundi dengan mengadakan perhimpunan besar-besaran pada Jumaat.

Tempoh berkempen akan tamat pada 6 petang (waktu tempatan) pada Sabtu.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha, calon perdana menteri Parti United Thai Nation bersama-sama calon lain yang bertanding bertemu ribuan penyokong pada perhimpunan di Pusat Konvensyen Queen Sirikit di Bangkok.

Perhimpunan bertemakan "Jangan biarkan Lung Tu berjuang sendirian. Keluar untuk lindungi negara. Mari bersatu dengan Parti United Thai Nation."

"Lung Tu", nama panggilan Prayuth yang bermaksud "Pakcik Tu."

Sementara itu, Parti Pheu Thai yang mendahului tinjauan pendapat dan menyasarkan kemenangan besar dalam pilihan raya kali ini, menganjurkan perhimpunan di Impact Arena Muang Thong Thani di wilayah Nonthaburi yang dihadiri lebih 10,000 penyokong.

Calon Perdana Menteri Pheu Thai - Paetongtarn Shinawatra, 36, anak perempuan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra, turut hadir, walaupun masih dalam pantang selepas melahirkan bayi lelaki pada 1 Mei.

Sementara itu, calon Parti Move Forward, Pita Limjaroenrat bertemu pengundi dan penyokong pada perhimpunan di Stadium Thai-Jepun di Din Daeng.

Pita juga menjadi calon pilihan sebagai perdana menteri.

Sementara itu, penjualan arak diharamkan mulai 6 petang, sehari sebelum pilihan raya, sehingga petang hari pengundian.

Di bawah Seksyen 147 Akta Pilihan Raya, menjual minuman beralkohol semasa hari pilihan raya adalah diharamkan. Mereka yang ingkar boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan dan denda 10,000 baht.

Disiarkan pada: May 13, 2023 @ 8:38am
d