Asia

Emirates umum bonus enam bulan

Oleh Agensi

Abu Dhabi: Selepas 24 jam mengumumkan mencatat keuntungan tahunan paling tinggi, Kumpulan Emirates dilapor menjanjikan bonus sehingga enam bulan gaji kepada lebih 100,000 pekerjanya.

Khaleej Times melaporkan, perkara itu disahkan beberapa kakitangan yang menerima e-mel mengenai insentif syarikat itu.

Bagaimanapun, Emirates enggan mengulas mengenai perkara itu.

Berdasarkan e-mel diterima kakitangan syarikat, Pengerusi dan Ketua Eksekutif Kumpulan Penerbangan Emirates, Sheikh Ahmed Saeed Al Maktoum menulis mengenai prestasi hebat yang dipamerkan syarikat itu.

Berikutan itu, beliau memberitahu bahawa kakitangan layak menerima bonus 24 minggu yang akan ditambah kepada gaji Mei ini.

Dalam e-melnya kepada pekerja, Sheikh Ahmed turut menasihatkan mereka untuk menggunakan wang tambahan itu mengikut keperluan mereka.

"Melaburnya dengan bijak, simpan atau belanjakan dengan baik dan nikmati hasil kerja keras anda," tulisnya.

Seorang pekerja yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, bayaran diterima berbeza-beza bergantung kepada gaji pokok pekerja, namun mendapat 24 minggu atau enam bulan gaji pokok mereka.

Seorang lagi pekerja berkata, ramai melahirkan rasa gembira dan lega dengan berita itu kerana Covid-19 adalah masa yang paling sukar bagi mereka.

"Rasanya seperti kehidupan terhenti tetapi sekarang dapat mengubahnya dan mencapai kedudukan ini adalah sesuatu yang hebat," katanya.

Khamis lalu, syarikat itu mengeluarkan laporan tahunan 2022-23 yang mencatatkan rekod keuntungan sebanyak AS$3 bilion (kira-kira RM13.3 bilion), pemulihan daripada kedudukan kerugian syarikat tahun lalu.

Dalam kenyataan, Sheikh Ahmed memuji kerja keras pekerjanya.

"Kami sudah mencapai rekod prestasi kewangan dan baki tunai untuk tahun kewangan 2022-23.

"Ini mencerminkan kekuatan model perniagaan kami yang terbukti, perancangan ke hadapan yang teliti, kerja keras semua pekerja dan perkongsian kukuh merentas ekosistem penerbangan serta perjalanan," katanya.

Disiarkan pada: May 13, 2023 @ 10:50am
d