Asia

Takut kahwin, lelaki cekik tunang sampai mati

Oleh Agensi

New Delhi: Menggemparkan apabila pengantin perempuan di India maut disyaki kerana dibunuh oleh pasangannya sendiri pada hari perkahwinan mereka.

Portal The Thaiger memetik Hindustan Times melaporkan, kejadian itu berlaku pada 4 Mei lalu iaitu hari perkahwinan mangsa berusia 21 tahun dan tunangnya yang berumur 27 tahun.

Jurucakap polis Lucknow berkata, pada hari kejadian, mangsa meninggalkan rumah untuk ke salun kecantikan sebelum majlis perkahwinannya, yang dijadualkan berlangsung pada sebelah petang.

"Bagaimanapun, gadis itu tidak pulang ke rumah atau menjawab telefon menyebabkan keluarganya bertambah cemas.

Mereka kemudian ke salun kecantikan tetapi tidak menemui jejaknya, dan akhirnya memfailkan laporan orang hilang di balai polis.

Polis bertindak balas dengan pantas, meninjau laluan dijangka akan dilalui mangsa dan memeriksa rekod telefonnya, yang mendedahkan individu terakhir berhubung dengannya adalah tunangnya sendiri.

Berikutan itu, pihak berkuasa memanggil lelaki berkenaan untuk disoal siasat kerana disyaki ada kaitan dengan kehilangan mangsa

Pada mulanya, suspek menafikan dan mendakwa dia sibuk dengan persiapan perkahwinan tetapi akhirnya mengaku membunuh mangsa.

Suspek didakwa menghubungi mangsa untuk berjumpa dengannya untuk berbincang membawanya ke tempat terpencil di dalam hutan untuk berkelah.

Pertengkaran berlaku hingga suspek bertindak mencekik tunangnya dengan selendang dipakai mangsa.

Suspek kemudian mematikan telefonnya dan pulang ke rumah seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Dalam pengakuannya, suspek memaklumkan motifnya membunuh tunangnya pada hari perkahwinan mereka adalah kerana berasa terpaksa berkahwin dan tidak bersedia untuk komitmen sedemikian.

Dia bersetuju dengan perkahwinan itu semata-mata untuk menyedapkan hati tunangnya tetapi mula panik apabila hari semakin hampir jadi memutuskan untuk membunuh mangsa.

Suspek berusia 27 tahun itu ditangkap dan kini berdepan pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan India (IPC), termasuk Seksyen 364 (penculikan atau penculikan mangsa), 302 (pembunuhan), dan 201 (memberi maklumat palsu), lapor Sanook.

Disiarkan pada: May 16, 2023 @ 3:42pm
d