Asia

Jadi 'anak sepenuh masa' tetapi bergaji

Oleh Agensi

Beijing: Keputusan seorang wanita berhenti kerja dan menjadi 'anak perempuan sepenuh masa' mencetuskan kontroversi di China.

Oddity Central melaporkan, Nianan, 40, dikatakan meletak jawatan selepas 15 tahun bekerja di sebuah agensi berita.

Ketika masih bekerja, Nianan perlu bersedia untuk kerjanya hampir 24 jam sehari dan berdepan tekanan yang luar biasa.

Mujurlah, ibu bapanya menawarkan pekerjaan yang lebih baik, jika dia berhenti kerja yang didakwa menyebabkannya sengsara.

"Kenapa kamu tak berhenti kerja? Kami akan menanggung kamu daripada segi kewangan," kata ibu bapa wanita itu.

Difahamkan, ibu bapa Nianan berjanji untuk membayarnya 4,000 yuan (kira-kira RM2,613) sebulan, jika dia datang dan tinggal bersama mereka.

Itu bermakna tiada lagi kos perumahan, dan penjimatan besar-besaran untuk makanan dan pelbagai barangan rumah, kerana ibu bapa Nianan akan menguruskan perbelanjaan itu.

Selepas setahun 'bekerja' dengan ibu bapanya, Nianan menyifatkan kerjayanya penuh dengan kasih sayang.

Dia menghabiskan rutin hariannya dengan menemani ibu dan bapanya apabila mereka pergi membeli-belah runcit, memasak makan malam bersama mereka setiap petang, memandu keluar untuk bersiar-siar dan mempunyai satu jam untuk menari dengan mereka setiap hari.

Nianan berkata, dia juga bertanggungjawab untuk menguruskan kelengkapan elektronik di sekitar rumah, dan merancang satu atau dua perjalanan keluarga setiap bulan.

Walaupun rutin itu kelihatan menggembirakan, Nianan mengakui dia kadangkala masih ada keinginan untuk menjana lebih banyak wang.

Ibu bapa Nianan tahu tetapi tidak menghalangnya, jika itu yang dia mahu.

"Jika kamu mencari pekerjaan yang lebih sesuai, kamu boleh pergi untuk itu.

"Jika tidak mahu bekerja, tinggal di rumah dan luangkan masa bersama kami," kata ibu bapanya.

Disiarkan pada: May 25, 2023 @ 1:21pm
d