Asia

Kebakaran bangunan warisan: Dua remaja serah diri

Oleh AFP

Sydney: Dua remaja berusia 13 tahun menyerah diri bagi membantu siasatan kebakaran yang memusnahkan bangunan warisan tujuh tingkat di tengah bandar Sydney, kata pegawai pada Jumaat.

Polis Australia berkata, siasatan dijalankan susulan kebakaran sebuah kilang topi kosong pada Khamis, yang merebak ke bangunan sebelah dan memaksa pemindahan beramai-ramai dilakukan sebelum kebakaran dipadamkan.

Sekumpulan remaja 'dilihat berlari dari lokasi kebakaran selepas jam 4 petang', kata Penolong Pesuruhjaya Paul Dunstan.

"Dua remaja terbabit menyerah diri di dua balai polis berasingan lewat malam tadi.

"Kami berbual dengan remaja ini sepanjang malam dan mereka kini membantu pihak polis," katanya sambil memaklumkan kedua-dua remaja itu berusia 13 tahun.

Katanya, pihak polis turut meminta tiga atau empat lagi remaja yang dipercayai berada di lokasi kejadian supaya hadir ke balai polis bersama ibu bapa untuk memberi keterangan.

Sejurus kebakaran berlaku, api menjulang tinggi melepasi bangunan dan asap tebal boleh dilihat di seluruh Sydney.

Rakaman video daripada pihak bomba menunjukkan keseluruhan dinding tingkat atas roboh, dan jatuh berkeping-keping di atas jalan, malah bangunan kelihatan berwarna jingga.

Lalu lintas berhampiran dari Stesen Sentral juga terpaksa diberhentikan ketika anggota bomba memadam kebakaran.

Disiarkan pada: May 26, 2023 @ 12:30pm
d