Asia

Penerbangan komersial pertama pesawat buatan China

Oleh Agensi

Beijing: Selepas bertahun-tahun menjalani penyelidikan, pembangunan dan ujian, pesawat penumpang komersial terbesar pertama China, C919, akhirnya bersedia membuat penerbangan komersial sulungnya, esok.

Menurut aplikasi syarikat penerbangan China Eastern Airlines, penerbangan MU 9191 akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hongqiao Shanghai pada 10.45 pagi waktu tempatan sebelum dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing pada 1.10 tengah hari.

Dalam mesej yang disiarkan pada aplikasinya, China Eastern Airlines berkata, pihaknya akan memilih penumpang bertuah yang sudah membuat permohonan menaiki penerbangan sulung itu.

Dibina Commercial Aircraft Corporation of China (COMAC ) di China, pesawat C919 yang pertama dihantar kepada China Eastern Airlines pada Disember 2022 dan pada bulan-bulan berikutnya.

Pesawat enjin berkembar tunggal itu mempunyai 164 tempat duduk yang mempunyai kelas perniagaan dan ekonomi.

Dengan jarak sehingga 5,555 kilometer, C919 dijangka akan mengambil alih dua pengeluar pesawat utama dunia, Airbus dan Boeing.

Ia akan menjadi pesaing langsung kepada jet badan sempit A320 dan B737, yang paling biasa digunakan untuk penerbangan antarabangsa domestik dan serantau.

Menurut Laporan Kemajuan Sains dan Teknologi Shanghai 2022 yang dikeluarkan kerajaan Shanghai, 32 pelanggan membuat sejumlah 1,035 tempahan untuk pesawat itu pada akhir 2022.

Banyak elemen utama pesawat seperti bahagian pemuka, fiuslaj, sayap luar, penstabil menegak dan penstabil mendatar direka Comac, namun syarikat itu meminta syarikat di Barat membantu dalam aspek beberapa komponen.

Ini termasuk enjin LEAP-1C pesawat yang dibangunkan CFM International iaitu usaha sama antara General Electric dan kumpulan industri berteknologi tinggi Perancis, Safran.

Disiarkan pada: May 27, 2023 @ 12:34pm
d